Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor tidak akan adakan pilihan raya lebih awal

May 26, 2025 | 3:20 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri masih mempunyai tempoh dua tahun untuk memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan ekonomi dan prasarana demi kepentingan rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri masih mempunyai tempoh dua tahun untuk memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan ekonomi dan prasarana demi kepentingan rakyat. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan diadakan lebih awal kerana penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan tamat pada April 2027.

Menurutnya, kerajaan negeri masih mempunyai tempoh dua tahun untuk memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan ekonomi dan prasarana demi kepentingan rakyat.

“Ini bukan musim pilihan raya. Penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027. Ada dua tahun lagi, jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor, kita perlu fokus kepada pembangunan Johor.

“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, Johor, pada 26 Mei.

Datuk Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap turut merakamkan penghargaan atas iltizam dan akhlak murni yang ditunjukkan oleh Adun pelbagai parti politik sepanjang persidangan berlangsung.

Sebelum ini, desas-desus mengenai kemungkinan PRN Johor diadakan lebih awal, khususnya sekitar pertengahan 2026 semakin kuat, berikutan gerak kerja kerajaan negeri yang dilihat menjurus ke arah pilihan raya.

Ia termasuk selepas Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain, mengeluarkan kenyataan supaya Pakatan Harapan (PH) Johor segera membuat ketetapan sama ada akan menghadapi PRN akan datang bersama Barisan Nasional (BN) atau bergerak secara solo.

Menurut beliau keputusan tersebut penting bagi membolehkan PH Johor menumpukan kepada persiapan gerak kerja, termasuk perbincangan awal mengenai pengagihan kerusi sekiranya kerjasama politik diteruskan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Johor, Cik Teo Nie Ching, berkata gabungan itu sentiasa bersedia dan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak menjelang PRN akan datang.

Namun, beliau menjelaskan tiada sebarang tarikh rasmi diumumkan setakat ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pula berkata Umno sentiasa dalam keadaan bersiap menghadapi sebarang kemungkinan, namun menekankan tempoh sah penggal DUN Johor hanya akan berakhir pada Mac 2027.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor pada 2022, BN mencatat kemenangan dua pertiga dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN.

PH memperoleh 11 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi, manakala PKR dan Muda masing-masing memenangi satu kerusi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg