Warga Malaysia khususnya mereka yang kerap berulang-alik ke Singapura, digesa agar segera mendaftar bagi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi memudahkan urusan perjalanan mereka merentas sempadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata ini kerana penggunaan kod respons pantas (QR) akan diperluas ke semua kaunter pintu sempadan dalam masa terdekat.
Menurutnya, sehingga 1 Oktober, lebih 200,000 pengguna telah memuat turun aplikasi MyNIISe, namun hanya sekitar 50,000 pengguna yang mendaftar.
“Kerajaan Johor memberi jaminan untuk terus mempertingkatkan keberkesanan urusan imigresen di pintu masuk sempadan dengan memperluas penggunaan MyNIISe yang membolehkan pengguna melepasi kaunter dalam tempoh kurang lima saat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meninjau Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada 1 Oktober bagi memantau isu-isu berbangkit serta kelancaran aliran trafik.
“Walaupun sebanyak enam kaunter masuk dan enam kaunter keluar di KSAB telah dilengkapi dengan kemudahan kod QR, masih terdapat pengguna yang belum menerima maklumat mengenai sistem ini.
“Oleh itu saya menyeru mereka yang kerap berulang-alik ke Singapura untuk segera mendaftar MyNIISe,” katanya.
Dengan sistem itu, seorang pengguna hanya memerlukan kurang lima saat untuk melepasi kaunter, manakala sekiranya jumlah kenderaan ramai, urusan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang seminit.
Encik Mohamad Fazli berkata pemasangan lapan mesin pengecaman wajah dan kod QR, masing-masing empat unit untuk aliran masuk dan empat unit untuk aliran keluar, sedang giat dilaksanakan di KSAB bagi menggantikan peralatan lama yang rosak.
“Mesin baru ini akan berfungsi sama seperti MyBorderPass tetapi menggunakan aplikasi MyNIISe.
“Ujian dijadualkan bermula pertengahan bulan depan (November) sebelum diperluaskan ke semua kaunter motosikal di KSAB dan BSI,” jelasnya.
Beliau menegaskan Kerajaan Johor sentiasa komited dalam memastikan urusan keluar masuk di sempadan berjalan lancar demi keselesaan rakyat dan pelawat antarabangsa.
Sebelum ini media Malaysia melaporkan, menerusi MyNIISe yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), semua perkhidmatan Imigresen akan dirangkumkan di bawah satu sistem dan melalui penggunaan AI.
Dengan itu, ia akan lebih meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan Imigresen terutama di pintu masuk Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg