Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kod QR NIISe dilaksana di CIQ Johor

Lebih 170,000 pengguna telah muat turun aplikasi
Sep 26, 2025 | 12:38 PM
Malaysia, Johor, NIISe, CIQ, Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Johor kini menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) menggunakan Kod QR menerusi aplikasi MyNIISe, dengan lebih 170,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata percubaan awal sistem itu melibatkan 28 laluan kereta, 16 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 12 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Hasil tinjauan saya di BSI pada pagi 23 September, kita dapati ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian segera. Antaranya, jumlah pengguna masih rendah ketika itu, iaitu hanya sekitar 40,000 muat turun.

“Tetapi sehingga hari ini jumlah tersebut telah bertambah dengan lebih 170,000 muat turun,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau berkata usaha promosi dan penyebaran maklumat akan dipertingkat, termasuk melalui edaran risalah di laluan masuk, video panduan di media rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan NIISe, serta infografik bagi memudahkan pengguna menguasai aplikasi tersebut.

Selain itu, katanya laluan khas Kod Respons Pantas (QR) telah diwujudkan di Zon Kereta B1 hingga B4 di BSI, manakala B5 hingga B8 dijadikan laluan hibrid.

Sepanduk tambahan juga dipasang bagi membantu pengguna membuat pengasingan lebih awal sebelum memasuki bangunan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran teknikal yang sedang ditangani, termasuk isu pendaftaran bagi pengguna SingTel dari Singapura.

“Pihak NIISe dan HeiTech Padu akan meneliti masalah ini dengan lebih mendalam, termasuk melalui lawatan kerja ke Singapura untuk mendapatkan butiran lanjut,” katanya.

Encik Mohamad Fazli yakin daya usaha itu akan melancarkan pergerakan rentas sempadan Johor-Singapura, mengurangkan kesesakan dan menawarkan pengalaman perjalanan lebih cekap serta selesa.

Beliau berkata percubaan itu akan diperkemas berdasarkan maklum balas pengguna, sebelum diperluas ke laluan motosikal, pejalan kaki dan penumpang bas.

“Saya menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi MyNIISe dan mencuba sendiri kemudahan ini,” katanya sambil menegaskan Johor kekal komited sebagai peneraju transformasi digital dalam memodenkan sistem imigresen negara.

Terdahulu, KDN dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan melaksanakan tempoh percubaan NIISe di KSAB dan BSI, di Johor, bermula 22 September 2025 hingga 28 Februari 2026.

Tempoh percubaan aplikasi pelepasan imigresen baru di bawah NIISe itu ujarnya, akan diteruskan secara berperingkat di lima Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) utama Malaysia, iaitu di Terminal 1 dan Terminal 2 LTA Kuala Lumpur (KLIA).

Tiga lagi LTA yang akan turut melaksanakan tempoh percubaan NIISe ialah LTA Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, dalam tempoh tersebut.

Aplikasi NIlSe boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.

“Sehingga hari ini jumlah tersebut telah bertambah dengan lebih 170,000 muat turun... Saya menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi MyNIISe dan mencuba sendiri kemudahan ini.”
Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg