Johor usaha tarik bakat pulang; gaji dan mutu hidup jadi penentu
Johor usaha tarik bakat pulang; gaji dan mutu hidup jadi penentu
Usaha menarik rakyat Malaysia di Singapura kembali bekerja di Johor tidak boleh sekadar bersandarkan pengukuhan ringgit.
Sebaliknya, ia perlu disokong dengan pakej yang lebih menyeluruh, merangkumi gaji yang kompetitif dan mutu hidup yang memuaskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, menjangkakan ramai rakyat Malaysia akan kekal bekerja di republik itu buat masa ini, meskipun nilai ringgit semakin mengukuh.
Katanya, golongan karyawan akan menimbang pelbagai aspek penting sebelum memutuskan untuk pulang bekerja di tanah air.
“Selain gaji yang menarik, mereka juga melihat prospek kerjaya jangka panjang, persekitaran kehidupan yang kondusif untuk keluarga, pendidikan anak-anak serta kemudahan kesihatan dan infrastruktur yang baik,” katanya lapor The Star.
Beliau menambah, majikan wajar menawarkan gaji yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman bagi menarik lebih ramai bakat pulang.
Ini juga penting bagi memastikan Johor terus membekalkan tenaga kerja mahir bagi menyokong kemasukan pelaburan.
Pensyarah Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura, Dr Serina Rahman, pula berpendapat sebahagian rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura mungkin mempertimbangkan tawaran kerja di Johor, terutama jika peluang itu wujud di kawasan Iskandar Malaysia.
Namun, jelas beliau, mereka yang mula bekerja di Singapura ketika kadar tukaran $1 bersamaan sekitar RM2.50 mungkin memilih untuk terus kekal di sana, terutamanya jika pendapatan mereka stabil.
Dr Serina juga menyatakan pergerakan rentas sempadan kini lebih lancar berbanding era sebelum pandemik Covid-19, berkat penambahan bas dan proses imigresen yang lebih pantas.
Walau bagaimanapun, mereka yang baru mula berulang-alik mungkin menghadapi cabaran, justeru lebih cenderung memilih pekerjaan di Malaysia, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, beliau menambah, sebahagian golongan muda bekerja di Singapura secara sementara untuk mengumpul simpanan, sebelum kembali ke Malaysia bagi membeli rumah, melunaskan pinjaman atau mendirikan rumah tangga.
Pemindahan operasi syarikat ke Malaysia, khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), berpotensi besar membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan, tambah beliau.
Sementara itu, Cik Azlyana Aznan, seorang kakitangan perubatan berusia 32 tahun, mengakui peluang pekerjaan dalam bidangnya di Johor Bahru tinggi, namun gaji yang rendah kekal sebagai duri dalam daging.
“Hidup di Johor Bahru dengan gaji di bawah RM3,000 ($977) memang merumitkan, apalagi kos sara hidup semakin menekan.
“Jika majikan benar-benar ingin menarik kami yang berkhidmat di luar negara pulang, isu gaji perlu diutamakan.
“Biarlah tidak setinggi Singapura, asalkan cukup untuk merasai hidup selesa, bebas daripada belenggu tekanan kos sara hidup,” tegasnya.
Bagi Encik Akmal Faiz, 32 tahun, seorang pekerja swasta, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah pekerja biasa seperti operator kilang dan pekerja pembersihan.
Setelah ditukar kepada ringgit, pendapatan mereka mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
“Gaji lumayan seperti itu hampir mustahil diperoleh jika melakukan pekerjaan yang sama di Malaysia.
“Golongan karyawan mungkin mudah dipujuk pulang dengan tawaran gaji tinggi oleh syarikat.
“Namun, bagi pekerja berkemahiran rendah, mereka mungkin kekal di Singapura, walaupun kadar tukaran tidak lagi semenggah dahulu,” ulasnya.
“
“Selain gaji yang menarik, mereka juga melihat prospek kerjaya jangka panjang, persekitaran kehidupan yang kondusif untuk keluarga, pendidikan anak-anak serta kemudahan kesihatan dan infrastruktur yang baik.”
