Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi Khas Aidilfitri: 61,317 notis kesalahan dikeluarkan di serata M’sia

Apr 9, 2025 | 11:14 AM
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan pada penutup Ops Hari Raya Aidilfitri 2025 Negeri Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning.
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan pada penutup Ops Hari Raya Aidilfitri 2025 Negeri Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengeluarkan sejumlah 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di seluruh negara yang bermula 24 Mac dan berakhir tengah malam 8 April.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata notis terbabit dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 511 kenderaan disita. Ia hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan ‘hotspot’ seluruh negara.

“Sepanjang tempoh operasi itu juga, JPJ menerima 6,687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas pada musim perayaan ini, yang mana orang awam mengambil gambar atau merakam video kesalahan di jalan raya sebelum menghantarnya menerusi aplikasi berkenaan.

“Data menunjukkan tiga kesalahan utama yang tertinggi ialah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).

“Kita sudah mengambil tindakan berikutan semua aduan itu, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya terakhir Operasi Khas HRA 2025 yang dilakukan JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini malam 8 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam operasi kali ini, Datuk Aedy Fadly, berkata JPJ turut menumpukan kepada pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam membabitkan sejumlah 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.

“Pihak JPJ telah mengeluarkan 1,294 notis yang mana 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran dalam bas yang bergerak sepanjang musim perayaan ini.

“Kebanyakan kesalahan dilakukan pemandu bas adalah berkait tayar, dan tindakan segera diambil termasuk mengenakan kompaun.

“Melalui penyamaran anggota JPJ dalam bas, dikesan banyak kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Itu adalah kesalahan utama yang tiada kompromi, dan juga terus dikompaun.

“Sepanjang perjalanan, anggota JPJ yang menyamar mengetahui apa yang pemandu bas lakukan, termasuk memandu di lorong kanan secara berterusan dan memasuki lorong kecemasan.

“Pemandu terbabit terus mengaku bersalah kerana ada bukti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg