Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JPJ M’sia tawar diskaun saman 50%

Oct 27, 2025 | 11:33 AM
JPJ, diskaun, saman
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli (empat dari kanan), melakukan pemeriksaan muatan lori treler pada Op Gempur di Plaza Tol Sungai Petani (Arah Utara) pada malam 26 Oktober. - Foto BERNAMA

SUNGAI PETANI (Kedah): Pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata diskaun berkenaan terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun.

Beliau berkata orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak diminta mengambil peluang tawaran itu dengan membuat pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan.

“Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember 2025.

“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas (2024), tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah.

“Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuklah saman JPJ dan saman PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya pada sidang media khas Op Gempur di sini pada malam 26 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Datuk Aedy Fadly berkata JPJ melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember itu bagi membanteras isu kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Menurutnya, setakat 26 Oktober, 27,300 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 1,017 dikesan membawa barangan melebihi muatan.

“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (P22), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Apad), dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, manakala sebanyak 96 lori turut disita.

“Kebanyakan kenderaan ini kita sasarkan yang bawa muatan seperti batu, kerikil, besi dan sebagainya.

“Itu sasaran kita sebab kita ada ‘hotspot’ seperti kuari atau kilang besi, tempat kenderaan ini keluar,” katanya.

Datuk Aedy Fadly menambah, JPJ sentiasa komited untuk mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, prasarana awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg