Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dipacu melalui kerjasama ekonomi rentas sempadan dan promosi pelaburan bersama antara Malaysia dan Singapura, menurut Kementerian Ekonomi dalam satu jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen pada 3 Disember.
Menerusi penjelasan itu, kementerian berkenaan memaklumkan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) akan memainkan peranan utama sebagai pusat sehenti bagi memudah cara urusan pelaburan, mempercepat proses kelulusan projek serta mengukuhkan aktiviti promosi pelaburan di kawasan JS-SEZ.
“Pendekatan ini dijangka mempercepat pembangunan zon berkenaan dan meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur serantau serta antarabangsa.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital terkini bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan dan meningkatkan kecekapan kemudahan perniagaan,” katanya.
Menurut Kementerian Ekonomi, usaha tersebut dijangka menarik sekurang-kurangnya 100 projek berimpak tinggi dalam tempoh 10 tahun, selain mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor strategik.
“Dalam usaha memastikan tenaga kerja tempatan bersedia mengisi peluang pekerjaan baru ini, pihak kerajaan menegaskan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh.
“Latihan TVET akan diselaraskan dengan keperluan pelabur, khususnya dalam industri pertumbuhan dan nilai tinggi seperti teknologi termaju, automasi dan sektor Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) atau High-Growth High Value,” ujarnya.
Kerjasama antara institusi TVET awam dan pemain industri juga sedang dipergiat melalui perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan kurikulum bersama,” jelasnya.
Selain itu, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) melaksanakan program pembangunan bakat tempatan, termasuk latihan industri dan pensijilan profesional bagi memastikan tenaga kerja Johor kekal relevan dan berdaya saing.
Kementerian Ekonomi menjelaskan keseluruhan pelaksanaan JS-SEZ dijangka memberi limpahan ekonomi ketara kepada rakyat Johor dan Malaysia secara umum, termasuk peningkatan aktiviti perdagangan, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME), serta penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ini sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani yang menekankan kemakmuran bersama serta pertumbuhan ekonomi menyeluruh,” katanya.
Penjelasan tersebut dikemukakan sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta kementerian menjelaskan langkah strategik kerajaan untuk melonjakkan pembangunan JS-SEZ dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg