Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekan Nanas di Pontian potensi jadi hab limpahan pelaburan JS-SEZ

Dilihat mampu tampung industri sokongan, logistik dan SME rentas sempadan
Dec 3, 2025 | 1:07 PM
Pekan, Nanas, potensi, pelaburan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berkata kedudukan strategik Pekan Nanas memberikannya empat kekuatan utama yang menjadikannya destinasi berpotensi untuk menerima limpahan pelaburan. - Foto FACEBOOK NATIONAL METROLOGY INSTITUTE OF MALAYSIA

Pekan Nanas dilihat bakal muncul sebagai kawasan limpahan ekonomi baru hasil pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus menempatkannya sebagai hab sokongan penting kepada pertumbuhan pesat selatan Johor.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam satu jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen pada 2 Disember, menjelaskan meskipun ia tidak termasuk dalam sembilan zon utama di bawah JS-SEZ, kawasan berkenaan mempunyai kedudukan strategik.

Miti berkata JS-SEZ, yang dibangunkan melalui kerjasama Malaysia dan Singapura, bertujuan mewujudkan koridor pertumbuhan serantau yang lebih bersepadu, kompetitif dan berimpak tinggi.

“Zon ini memberi fokus kepada pemudahcaraan pelaburan, mobiliti tenaga kerja, pembangunan industri bernilai tinggi serta integrasi rantaian bekalan antara Johor dengan Singapura.

“Sembilan zon keutamaan (flagship) bagi JS-SEZ ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Senai-Skudai, Kulai-Sedenak, Tanjung Langsat, Tanjung Pelepas, Pengerang, Desaru dan Forest City.

“Namun, Pekan Nanas berada dalam rangkaian kawasan sokongan yang mempunyai hubungan langsung dengan beberapa zon utama berdekatan seperti Kulai-Sedenak serta Senai-Skudai, selain laluan penghubung ke Iskandar Puteri, Gelang Patah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya.

Menurut Miti, Pekan Nanas memiliki empat kekuatan utama yang menjadikannya destinasi berpotensi untuk menerima limpahan pelaburan.

Pertama ialah ketersediaan tanah industri yang luas di Taman Perindustrian Pekan Nenas I dan II serta Taman Perindustrian Tropicana, sesuai bagi industri kecil dan sederhana, logistik serta aktiviti sokongan sektor teknologi.

Kedua, kawasan ini menikmati kelebihan prasarana dan akses terus melalui Lebuhraya Link Kedua (Linkedua) dan laluan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Ketiga, kekuatan komuniti setempat dalam pertanian, khususnya nanas serta produk hiliran, yang kini berkembang kepada agropelancongan dan perusahaan bernilai tambah.

Keempat, kos operasi dan harga tanah yang lebih kompetitif berbanding Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

Data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan bahawa antara 2024 hingga Jun 2025 sebanyak tujuh projek perkilangan bernilai lebih RM130 juta ($40 juta) telah diluluskan di Pekan Nanas.

Ia melibatkan pengeluaran produk elektrik dan elektronik, fabrikasi logam, produk bukan logam serta komponen isi rumah.

Bagi sektor perkhidmatan, dua projek teknologi hijau turut diluluskan dalam tempoh sama.

Miti memberi maklum balas kepada soalan Ahli Parlimen (AP) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN–Tanjung Piai) yang bertanya mengenai strategi kerajaan memastikan Pekan Nanas menerima manfaat langsung daripada pembangunan JS-SEZ.

Miti berkata pihaknya kekal komited bersama Kerajaan Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) dan Invest Johor untuk menjadikan Pekan Nanas sebahagian daripada ekosistem pertumbuhan serantau yang lebih menyeluruh dan mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg