JOHOR BAHRU: Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura dijangka terus diperkukuh menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di kedua-dua negara.

Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya bersama Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Singapura, Dr Tan See Leng, di Putrajaya pada 15 April.

Menurut beliau, JS-SEZ merupakan antara inisiatif rentas wilayah utama di bawah Kementerian Ekonomi Malaysia yang berpotensi menjadi pemacu besar kepada peningkatan kerumitan ekonomi dan pembangunan industri di kedua-dua negara.

“Singapura bukan sekadar jiran, tetapi juga rakan dagang terpenting kita di Asean.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 sahaja, jumlah perdagangan kita telah meningkat kepada RM339.39 bilion ($109.19 bilion). Ini satu angka yang penting terhadap potensi ekonomi yang dijana,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 April.

Beliau berkata sehingga Jun 2025, pelaburan dari Singapura telah menjana lebih 429,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang teknologi hijau termasuk ‘Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon’, selain persediaan kedua-dua negara menghadapi cabaran tenaga sejagat susulan ketegangan di Asia Barat.

Encik Akmal berkata kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura perlu terus diperkukuh supaya manfaat ekonomi yang terhasil dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Yang paling penting bagi saya adalah bagaimana pelaburan bernilai berbilion ringgit ini dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan kerjaya yang lebih baik untuk anak muda kita, khususnya di Johor Bahru dan Malaysia amnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Tan berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi membincangkan peluang memperdalam kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, antara bidang yang diberi tumpuan termasuk daya tahan tenaga, perdagangan dan pelaburan.

Dr Tan berkata Singapura dan Malaysia merupakan penyokong kuat kepada Asean Power Grid dan sentiasa mencari jalan untuk saling menyokong dalam proses peralihan tenaga, terutama ketika dunia berdepan krisis tenaga sejagat.

Beliau berkata kerjasama JS-SEZ juga menunjukkan perkembangan positif susulan pemeteraian perjanjian rasmi pada Disember 2025.

“Kami gembira mendengar pelan induk JS-SEZ sedang dirangka dan menantikan pelancarannya dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut beliau, Singapura berharap kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dapat diteruskan demi manfaat ekonomi dan rakyat kedua-dua pihak.