JS-SEZ pacu pelaburan Johor, RM68 bilion diluluskan dalam sembilan bulan
JS-SEZ pacu pelaburan Johor, RM68 bilion diluluskan dalam sembilan bulan
KUALA LUMPUR: Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM68 bilion ($21.9 billion) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, merangkumi hampir 75 peratus daripada jumlah rekod pelaburan Johor sebanyak RM91.1 bilion, menurut seorang pegawai kanan kerajaan kepada The Business Times.
Angka itu melonjak ketara berbanding RM48.5 bilion pelaburan diluluskan bagi keseluruhan 2024, sekali gus menandakan peningkatan mendadak minat pelabur terhadap zon berkenaan.
Pertanyaan aktif pula mencecah RM73 bilion bagi tempoh sama, mencerminkan prestasi JS-SEZ yang mengatasi jangkaan awal dan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan serta pelaburan langsung asing negara.
Namun, Menteri Ekonomi yang baru dilantik, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka besar itu hanyalah sebahagian daripada gambaran keseluruhan.
Ujian sebenar, katanya, ialah sejauh mana kelulusan dapat diterjemahkan dengan pantas kepada projek sebenar dan pelaksanaan di lapangan.
“Perancangan telah berjaya dan kini 2026 adalah soal penyampaian,” katanya dalam wawancara eksklusif di Putrajaya.
“Persoalannya ialah seberapa cepat pelaburan yang diluluskan dapat diterjemahkan kepada aktiviti sebenar,” katanya.
Encik Akmal, 39 tahun, lulusan Ekonomi dan Sains Aktuari dari Universiti Wisconsin-Madison, merupakan menteri kedua termuda dalam Kabinet Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas rombakan pada 16 Disember 2025.
Beliau menggantikan Encik Rafizi Ramli dan mengambil alih portfolio penting yang membentuk hala tuju pertumbuhan negara, daya penghasilan, peluang pekerjaan, gaji serta daya saing jangka panjang.
Sebelum ini, Encik Akmal berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, pengalaman yang memberinya pendedahan kukuh terhadap pelaksanaan teknikal.
“Di Kementerian Ekonomi, kita tidak boleh mahir dalam satu perkara sahaja. Kita perlu memahami keseluruhan sistem dan bagaimana dasar benar-benar dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata pengumuman tumpuan ekonomi negara bagi 2026 akan dibentangkan pada Forum Ekonomi Malaysia pada 5 Februari, termasuk kemas kini lanjut berkaitan JS-SEZ.
Pencapaian penting seterusnya ialah pelan induk zon itu yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2026.
Walaupun ramai menantikan perincian insentif, Encik Akmal menegaskan aspek terpenting pelan induk ialah usaha menangani kekangan pelaksanaan.
“Ia berkaitan memperkemas proses, menyepadukan agensi dan memperjelas peranan. Pelabur mahukan kepastian, kepantasan dan kebolehramalan. Mereka tidak mahu kerumitan,” katanya.
Akmal mengakui walaupun Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor telah diwujudkan sebagai pusat sehenti, cabaran sebenar sering timbul di belakang tabir, termasuk pertindihan kelulusan, garis masa yang tidak jelas serta penyelarasan terpecah antara agensi Persekutuan dan negeri.
Pelan induk itu, jelasnya, akan memperjelas keutamaan sektor, menyelaraskan tanggungjawab pelaksanaan dan memperincikan jenis pelaburan yang ingin ditarik, bukan sekadar dari segi nilai tetapi daya penghasilan dan kesan limpahan.
Beliau turut menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (SME) agar tidak terpinggir.
Kira-kira 1,000 pertanyaan daripada SME telah direkodkan, termasuk dari Malaysia, Johor dan Singapura.
“Kejayaan jangka panjang zon ini bergantung pada sejauh mana SME mendapat manfaat melalui rantaian bekalan, perkhidmatan dan perkongsian,” katanya sambil menambah persaingan sihat boleh meningkatkan daya penghasilan jika diurus dengan baik.

