Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi tumpuan utama bagi pelaksanaan inisiatif pertanian moden negeri Johor, termasuk penerapan teknologi baru seperti Internet Benda (Internet of Things atau IoT), automasi ladang dan sistem pertanian pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata pendekatan itu bertujuan meningkatkan produktiviti serta mutu pengeluaran makanan di kawasan strategik yang menghubungkan dua ekonomi serantau.
“JS-SEZ merupakan platform penting dalam usaha Johor memacu pertanian berteknologi tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan domestik, malah berpotensi besar dalam pasaran eksport,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Jun.
Beliau berkata pelaksanaan dasar pertanian di zon berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana, peluasan penyelidikan dan pengembangan (R&D), serta pemberian insentif bersasar kepada pengusaha tani yang beroperasi di kawasan terbabit.
Menurut Datuk Zahari, JS-SEZ juga akan menjadi tapak utama kepada pelbagai program pemerkasaan belia tani termasuk bimbingan teknikal dan latihan moden bagi melahirkan generasi pelapis dalam sektor makanan masa hadapan.
“Inisiatif ini turut menyokong usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan negara yang lebih mampan, moden dan berdaya saing, selaras dengan penekanan Menteri Besar Johor dalam Kick Off Belanjawan Johor 2026,” katanya.
Beliau berkata penumpuan kepada JS-SEZ akan memperkukuh keupayaan Johor sebagai hab pengeluaran pertanian berorientasikan eksport, terutama dalam menjalin kerjasama dagang dan keselamatan makanan rentas sempadan bersama Singapura.
Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM68 juta ($20 juta) bagi memperkasa sektor pertanian menerusi Belanjawan Johor 2025, manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyalurkan RM23.4 juta sebagai sokongan pelaksanaan program berimpak tinggi.
“Melalui pelaksanaan tersusun dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Persekutuan dengan pelabur strategik, Johor yakin JS-SEZ akan menjadi pemacu utama kepada keterjaminan makanan dan kemakmuran ekonomi serantau,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Zahari turut memaklumkan komitmen Kerajaan Johor untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan masyarakat Orang Asli, terutama di kawasan selatan negeri yang dijangka menyaksikan kepesatan pembangunan susulan pelaksanaan JS-SEZ.
Beliau berkata pendekatan bersepadu bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) amat penting bagi memastikan masyarakat berkenaan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Dalam Mesyuarat Majlis Perunding Orang Asli Tahun 2025, kita membincangkan beberapa hala tuju penting pembangunan mampan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
“Johor mengusulkan agar lebih banyak peruntukan disalurkan bagi membina dan membaik pulih rumah Orang Asli, khususnya di kawasan yang terlibat dalam pembangunan JS-SEZ,” katanya.
Datuk Zahari turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah menambah elaun bulanan Tok Batin (ketua suku kaum) sebanyak RM300 bermula 2024, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,200 sebulan – hasil gabungan peruntukan negeri dan Persekutuan.
Langkah itu, katanya adalah bukti keprihatinan Johor terhadap kebajikan ketua masyarakat Orang Asli sebagai ejen penghubung antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg