Topik diikuti
Pergi ke BHkuJS-SEZ pemangkin limpahan pembangunan kepada rakyat Kota Iskandar
JS-SEZ pemangkin limpahan pembangunan kepada rakyat Kota Iskandar
Kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik dan peluang pekerjaan jadi tiga keutamaan selepas BN terima mandat besar
JS-SEZ pemangkin limpahan pembangunan kepada rakyat Kota Iskandar
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kota Iskandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata antara manfaat berkenaan adalah penyediaan peluang pekerjaan bergaji tinggi, perumahan mampu milik serta penambahbaikan prasarana bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, kira-kira 60 peratus daripada pelaburan yang dirancang di bawah JS-SEZ dijangka tertumpu di kawasan Kota Iskandar, sekali gus meletakkan tanggungjawab besar kepada kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan itu turut dinikmati masyarakat setempat.
“Kota Iskandar menjadi antara nadi kepada agenda Maju Johor 2030. Sebahagian besar pelaburan di bawah JS-SEZ akan berlaku di kawasan ini.
“Saya mahu memastikan pembangunan yang berlaku tidak meminggirkan penduduk kampung, taman perumahan dan masyarakat setempat.
“Mereka juga mesti menikmati limpahan peluang ekonomi hasil kemasukan pelaburan asing ke kawasan ini,” katanya kepada Berita Harian (BH) selepas menghadiri Kejohanan Ragbi Tamuri Super 10s di Padang Ragbi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru, pada 19 Julai.
Menurut Datuk Pandak, isu paling mendesak yang perlu diberi perhatian ialah kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan pesat kawasan Kota Iskandar.
Katanya, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemaju telah mengenal pasti beberapa penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang, termasuk pembinaan jejambat di persimpangan Jalan UTM ke Pulai Indah.
Selain itu, pelebaran beberapa jalan utama yang tertangguh akibat pilihan raya akan disiapkan, di samping penambahbaikan laluan di Gelang Patah serta penggunaan laluan pintasan dari Eco Botanic ke Nusa Bayu pada waktu sibuk bagi mengurangkan kesesakan.
“Kesesakan lalu lintas merupakan isu utama di Kota Iskandar. Sebab itu, inilah perkara pertama yang perlu kita selesaikan,” katanya.
Dalam aspek perumahan, Datuk Pandak berkata kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan peningkatan nilai hartanah di kawasan JS-SEZ tidak menjejas kemampuan rakyat memiliki kediaman.
Beliau berkata Johor kekal dengan dasar siling harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pada RM150,000 ($47,277), RM250,000 dan RM300,000, selain menyasarkan pembinaan antara 1,000 dengan 1,500 unit rumah mampu milik di Gelang Patah dan Taman Pulai Hijauan tahun 2026.
Pada masa sama, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan skim pembiayaan khas kepada golongan muda yang berpendapatan lebih tinggi tetapi tidak lagi layak membeli RMMJ, khususnya pembeli rumah pertama.
“Kita mahu lebih ramai anak muda memiliki rumah sendiri. Sebab itu saya mencadangkan supaya pinjaman dipermudahkan, selain meneruskan insentif kerajaan seperti bantuan kepada pembeli rumah pertama,” katanya.
Mengulas peluang pekerjaan, Datuk Pandak berkata Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) akan terus menjadi pemudah cara antara pelabur dengan tenaga kerja tempatan bagi memastikan lebih ramai anak Johor mendapat peluang pekerjaan bergaji premium dalam sektor pusat data serta industri berteknologi tinggi.
“Kita akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negeri supaya segala manfaat hasil pelaburan dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.

