Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, menyeru pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi seseorang calon, bukannya persepsi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 11 Julai.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri, berkata pengundi wajar menilai kemampuan seseorang wakil rakyat menyelesaikan masalah penduduk serta melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Datuk Pandak, yang akan mempertahankan kerusi itu, dijangka sekali lagi berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Encik Dzulkefly Ahmad, yang pernah menewaskannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018 sebelum beliau merampas semula kerusi berkenaan pada PRN 2022.

“Ini kali kedua kami bertembung. Dulu beliau penyandang, kemudian saya pula diberi mandat oleh rakyat. Itu perkara biasa dalam demokrasi.

“Saya berharap pengundi kali ini membuat pilihan berdasarkan prestasi, bukan persepsi. Seseorang calon bukan dinilai kerana kelulusan atau latar belakang semata-mata, tetapi berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau berkata masih banyak projek pembangunan di Kota Iskandar yang sedang dilaksanakan dan perlu diteruskan bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan yang lebih baik.

Antara keutamaan termasuk usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas menerusi pembinaan jejambat dan jalan pintas yang akan dilaksanakan pemaju, selain penambahan projek perumahan rakyat.

“Kita sedang dalam proses menyuraikan masalah kesesakan jalan. Pembinaan jejambat dan jalan pintas yang dijanjikan akan diteruskan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Kita juga merancang lebih banyak projek perumahan rakyat. Apabila kawasan perumahan bertambah, kita akan memastikan kemudahan seperti sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah agama turut disediakan bagi memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

Mengulas cabaran mempertahankan kerusi yang mempunyai kira-kira 132,000 pengundi, sekali gus terbesar di Johor dan kedua terbesar di Malaysia, Datuk Pandak berkata beliau tidak memandang mudah persaingan kali ini.

Jelasnya, pendekatan menyantuni rakyat telah dilaksanakan secara berterusan sejak empat tahun lalu dan bukannya hanya ketika musim pilihan raya.

Kita sudah bekerja sepanjang empat tahun lalu. Program bersama masyarakat, badan bukan pemerintah, sekolah dan pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor diteruskan tanpa henti.

“Dalam tempoh berkempen yang singkat, mustahil untuk bertemu semua 132,000 pengundi. Sebab itu kita menggunakan kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi serta pelbagai saluran komunikasi bagi menyampaikan mesej kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas penyertaan beberapa parti baharu pada PRN kali ini, Datuk Pandak berkata beliau tidak melihat perkembangan itu sebagai ancaman besar kepada BN.

“Setiap parti ada penyokong masing-masing. Namun Umno mempunyai kekuatan organisasinya sendiri, selain rekod kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat. Saya yakin rakyat Johor cukup matang untuk membuat penilaian yang terbaik,” katanya.

Pada PRN 2022, Calon BN, Datuk Pandak mengatasi Encik Dzulkefly yang juga calon PH dengan majoriti 4,061 undi.