Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan kereta di M’sia disasar cecah 765,000 unit pada 2024

Jul 16, 2024 | 4:29 PM
Pada 2023 Malaysia mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah dengan sebanyak 799,731 unit kenderaan.
Pada 2023 Malaysia mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah dengan sebanyak 799,731 unit kenderaan. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 765,000 unit (kereta) berbanding unjuran awal 740,000 unit disokong persekitaran ekonomi yang positif.

Presiden MAA, Encik Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar (Faedah) Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus menyumbang kepada semakan sasaran TIV meskipun ia kira-kira 4 peratus lebih rendah berbanding jualan tertinggi dalam sejarah sebanyak 799,731 unit yang dicatat pada 2023.

Katanya, daripada unjuran TIV terkini MAA, kenderaan penumpang dijangka menyumbang sebanyak 696,150 unit manakala kenderaan komersial sebanyak 68,850 unit, lebih rendah daripada 74,000 unit yang disasarkan pada peringkat awal.

“Pengukuhan ekonomi domestik dengan kerajaan optimis dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berada dalam kedudukan baik untuk berkembang dalam 4.0 hingga 5.0 peratus menjadi satu petanda positif kepada sektor automotif.

“Pengekalan OPR baru-baru ini dijangka membantu merangsang perbelanjaan domestik termasuk membabitkan barangan mewah seperti pemilikan kereta baru,” katanya pada satu taklimat media prestasi sektor automotif separuh pertama dan sidang media Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 pada 16 Julai.

Encik Mohd Shamsor berkata tempahan tertunggak yang kukuh terutama dalam pasaran kereta penumpang segmen ‘A’ serta kemasukan peserta baru dengan lebih banyak pelancaran rangkaian model terkini juga kekal sebagai faktor utama kepada semakan unjuran TIV 2024.

“Strategi promosi agresif yang berterusan oleh ahli MAA dan penyediaan perkhidmatan nilai tambah serta lebih banyak pilihan kepada pelanggan akan meningkatkan permintaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengenai prestasi separuh pertama 2024, beliau berkata jualan kenderaan bermotor oleh ahli MAA meneruskan rentak positif dengan mendaftarkan 390,296 unit kenderaan berbanding 366,176 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023, peningkatan sebanyak 24,120 unit atau 6.6 peratus.

Beliau berkata peningkatan TIV bagi tempoh enam bulan pertama 2024 boleh dikaitkan terutama oleh prestasi kukuh oleh subsegmen kereta penumpang yang menyumbang peningkatan jumlah terbesar.

Katanya, pada asas tahun ke tahun kecuali Mac dan Jun, jualan kenderaan bulanan keseluruhan adalah lebih tinggi secara konsisten pada separuh pertama 2024 berbanding bulan yang sama pada 2023.

“Faktor yang menyumbang kepada TIV yang lebih tinggi adalah ekonomi domestik yang kukuh, pengekalan OPR dan persekitaran sosiopolitik yang stabil.

“Pasaran pekerjaan yang stabil, tempahan tertunggak yang kekal tinggi terutama dalam segmen ‘A’, kejayaan pelancaran model baru dengan ciri menarik serta mampu milik turut mendorong pasaran.

“Tidak ketinggalan adalah peningkatan jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang terus melonjak disebabkan oleh pengenalan banyak model baharu dalam separuh pertama 2024,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg