Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurugambar, jurusolek perkahwinan M’sia terkesan larangan tawar khidmat di S’pura

Oct 3, 2025 | 12:24 PM
Jurugambar, juruvideo dan jurusolek perkahwinan dari Malaysia antara yang terkesan dengan larangan Singapura terhadap warga asing dengan pas pelancong atau pelajar untuk menawarkan perkhidmatan di negara itu.
Jurugambar, juruvideo dan jurusolek perkahwinan dari Malaysia antara yang terkesan dengan larangan Singapura terhadap warga asing dengan pas pelancong atau pelajar untuk menawarkan perkhidmatan di negara itu. - Foto FREEPIK

JOHOR BAHRU: Jurugambar dan juruvideo perkahwinan di Johor terkesan dengan langkah Singapura yang melarang pekerja bebas asing daripada menawarkan perkhidmatan kreatif merentas sempadan.

Seorang jurugambar Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Lim, 36 tahun, berkata pengumuman itu memaksa beliau dan rakan-rakannya membatalkan tempahan di Singapura.

“Kami ada beberapa sesi fotografi praperkahwinan dan juga tempahan majlis sebenar yang sudah dijadualkan dari Oktober ini hingga 2026.

“Jumlahnya agak besar kerana tempoh itu dianggap waktu baik dan ramai pasangan ingin melangsungkan perkahwinan,” katanya, lapor The Star.

Menurut Encik Lim, banyak studio perkahwinan di Singapura mendapatkan khidmat jurugambar dan juruvideo dari Johor kerana kadar bayaran lebih rendah serta mutu perkhidmatan yang dianggap lebih baik.

Menurutnya, pelanggan dari Singapura merangkumi kira-kira 80 peratus daripada senarai pelanggannya sambil menambah bahawa larangan itu bukan saja menjejas penyedia perkhidmatan di Malaysia, bahkan juga perniagaan dan pelanggan di Singapura sendiri.

“Studio perkahwinan di sana (Singapura) memberitahu kami bahawa mereka berdepan banyak rungutan daripada pasangan yang sudah membuat bayaran untuk fotografi, videografi dan solekan, namun mereka kini bergelut untuk menyiapkan tempahan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pasangan dari Malaysia yang merancang sesi fotografi praperkahwinan di lokasi tarikan Singapura juga bimbang berdepan masalah undang-undang.

Encik Lim, yang pernah merakamkan gambar perkahwinan pasangan di beberapa negara, berkata beliau berharap pemerintah Singapura dapat mempertimbangkan penyelesaian alternatif.

Pada 11 September lalu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura bersama Persatuan Profesional Visual, Audio dan Kandungan Kreatif, mengeluarkan nasihat bersama yang mengingatkan bahawa warga asing dengan pas pelancong atau pelajar tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan fotografi, videografi dan solekan di negara itu.

Mereka yang didapati bekerja tanpa pas kerja sah boleh dikenakan denda sehingga $20,000 (RM65,530), penjara sehingga dua tahun atau kededuanya sekali.

Mereka juga boleh disenaraihitamkan daripada memasuki dan bekerja di Singapura.

Seorang juruvideo yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Dan, 39 tahun, turut menyuarakan kebimbangan sama dan mencadangkan agar Singapura mempertimbangkan pemberian permit kerja sementara kepada pekerja bebas asing dengan bayaran tertentu.

“Kumpulan saya juga ada beberapa projek yang masih belum disiapkan, walaupun pelanggan sudah membuat bayaran.

“Namun sepertinya kami tidak dapat teruskan kerana mahu elak berdepan masalah undang-undang,” kata Encik Dan, yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam industri itu.

Beliau menambah, pihaknya sedang berbincang dengan pelanggan untuk mencari jalan menyelesaikan kerja yang tertangguh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg