Syarikat dalam industri seperti fotografi, videografi dan perkhidmatan solekan tidak dibenarkan untuk mendapatkan khidmat pekerja bebas asing bagi pelanggan di Singapura.
Dalam satu nasihat bersama kepada pemegang kepentingan industri pada 11 September, Persatuan Karyawan Visual, Audio dan Kandungan Kreatif (Singapura), atau Vicpa dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata:
“Warga asing yang memegang visa pelancong atau pelajar, tidak dibenarkan untuk menjalankan kerja seperti ini di Singapura dan syarikat tidak boleh mengupah mereka untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, atau mempromosikan perkhidmatan mereka.”
Ini susulan daripada maklumat yang diterima MOM bahawa beberapa syarikat telah mengupah pekerja bebas asing untuk menyediakan perkhidmatan kreatif bagi majlis perkahwinan di sini, kata kenyataan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Tata cara kerja sebegini adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Akta Pekerjaan Tenaga Manusia Asing (EFMA).
Menjawab komen pengguna di Facebook, Vicpa berkata bahawa “nasihat ini dibangunkan dengan industri perkahwinan sebagai rujukan utama, tetapi ia juga relevan dan boleh diguna pakai untuk industri lain.”
Warga asing yang didapati bekerja di Singapura tanpa pas kerja yang sah boleh dikenakan denda tidak melebihi $20,000, hukuman penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Mereka yang mengupah warga asing tersebut untuk bekerja juga boleh dikenakan penalti yang sama.
Warga asing yang didapati bekerja tanpa pas kerja yang sah juga boleh dihalang daripada memasuki dan bekerja di Singapura.
Vicpa, yang merupakan anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menggalakkan syarikat untuk mengupah karyawan kreatif tempatan bagi menyokong perkembangan dan profesionalisme bakat tempatan.
Untuk melaporkan pelanggaran terhadap EFMA, orang ramai boleh melayari portal eServis MOM di www.mom.gov.sg/eservices/services/report-an-infringement.
Mereka yang memegang visa pelajar boleh melayari www.mom.gov.sg/passes-and-permits/work-pass-exemption-for-foreign-students untuk maklumat lanjut mengenai kelayakan mereka untuk bekerja.
Vicpa ditubuhkan pada 2021 untuk mewakili individu pekerja bebas dan pekerja sendiri dalam industri kandungan kreatif, dengan sokongan dari NTUC.
Menurut laman web Vicpa, ia bertujuan untuk menegakkan kod etika bagi membimbing amalan industri dan menyokong para ahli dalam memperkukuhkan kecekapan profesional mereka, antara objektif lain.
MOM dan Vicpa telah dihubungi untuk maklumat lanjut.
“
“Warga asing yang memegang visa pelancong atau pelajar, tidak dibenarkan untuk menjalankan kerja seperti ini di Singapura dan syarikat tidak boleh mengupah mereka untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, atau mempromosikan perkhidmatan mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg