KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal (welder) dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Mac, selepas mengaku bersalah atas 16 tuduhan mengendalikan wang dua anggota kumpulan ISIS dan memiliki video berkaitan kumpulan pengganas itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Rosdy Benjamin, 45 tahun, dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Ogos 2023.
“Saya mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang tertuduh lakukan adalah serius.
“Mahkamah perlu memberi hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu dan kepada orang lain yang ingin melakukan kesalahan serupa.
“Saya juga mengambil kira pengakuan salah tertuduh sememangnya menjimatkan masa dan kos semua pihak selain ini adalah kesalahan pertama tertuduh.
“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap 15 tuduhan mengendalikan wang dan hukuman itu berjalan serentak,” kata Hakim Muhammad Jamil.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi satu lagi tuduhan memiliki video dan hukuman itu berjalan serentak dengan hukuman bagi 15 tuduhan lain.
Semasa rayuan terhadap hukuman, Rosdy yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menyara keluarga termasuk isteri dan tiga anak serta ibu dan bapanya selain kesalahan itu adalah kesalahan pertama tertuduh dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Mariam Jamielah Ab Manaff memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
Mengikut 15 tuduhan, Rosdy didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta dua pengganas dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM63,450 ($19,146) dan pengeluaran sebanyak RM62,801.06 daripada akaun Maybank milik tertuduh untuk manfaat pengganas terbabit.
Lelaki itu juga didakwa memiliki dua video berkaitan kumpulan pengganas ISIS di dalam satu telefon bimbit dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikendalikan itu.
Berdasarkan fakta kes, pada 9.23 pagi, 24 Ogos 2023, bertindak atas satu laporan polis, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di Taman Scientex, Pasir Gudang, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.
Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui 15 transaksi daripada akaun Maybank antara 1 Mac 2015 hingga 3 Jun 2016, seterusnya melalui perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada dua lelaki yang terlibat dengan kumpulan ISIS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg