Langkah keselamatan yang dikenakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini terhadap dua warga Singapura dan seorang warga asing merupakan peringatan yang bertepatan pada waktunya.
Singapura tidak boleh memandang ringan keharmonian kaum dan agama di sini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 10 Februari, Encik Masagos menekankan bahawa keharmonian sosial yang dinikmati hari ini tidak wujud begitu sahaja dan Singapura tidak seharusnya membenarkan apa jua kejadian untuk menggugat keharmonian silang masyarakat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga berkata: “Keharmonian sosial yang kita ada hari ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil kerja keras selama beberapa dekad.
“Saya ingin menekankan bahawa rakyat Singapura perlu terus bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa atau agama dan tidak membenarkan kejadian seperti ini memecahbelahkan masyarakat kita.”
Beliau berkata demikian susulan kes melibatkan remaja lelaki berusia 18 tahun yang dikenakan Arahan Penahanan (DO) dan wanita berusia 56 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah ISA selepas mereka didapati menjadi radikal secara sendiri.
Kededua merupakan warga Singapura.
Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 10 Februari, Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, dikenakan DO pada Disember 2024 setelah remaja itu didapati menjadi radikal oleh ideologi ekstremis ganas sayap kanan dan ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Seorang suri rumah berusia 56 tahun, Hamizah Hamzah, pula telah dikenakan RO pada Januari 2025 selepas didapati menjadi radikal dek konflik Israel-Hamas.
Dia telah menunjukkan sokongan ke atas Axis of Resistance (AOR) – rangkaian ekstremis dan pengganas yang termasuk kumpulan politik dan sebahagian tentera Hezbollah di Lebanon, dan Briged Al-Qassam (AQB), sayap tentera kumpulan Hamas di Jaluran Gaza, tambah ISD.
Seorang rakyat Malaysia, Saharuddin Saari, 34 tahun, juga ditahan pada November 2024 dan dihantar pulang ke Malaysia setelah didapati menyokong kumpulan pengganas ISIS, Hamas dan AQB.
Dia juga didapati ingin ke zon konflik luar negara seperti Syria untuk terlibat dalam kegiatan pengganasan bersenjata, jelas ISD.
Berikutan tindakan yang dikenakan itu, Encik Masagos menyeru agar rakyat Singapura kekal berwaspada dan saling menjaga antara satu sama lain.
“Kita harus segera melaporkan kepada pihak berkuasa dengan cepat, jika ada seseorang dalam kalangan kita yang mungkin menjadi radikal, supaya sokongan dan tindakan wajar dapat diberikan secepat mungkin,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg