Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabinet M’sia akan putus isu kilang ‘vape’ milik syarikat AS di Johor

Jun 9, 2025 | 4:30 PM
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto FACEBOOK DR DZULKEFLY AHMAD

KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia akan membuat keputusan bersama berhubung kontroversi melibatkan kilang ‘vape’ atau rokok elektronik milik syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang dilaporkan mengeluarkan peralatan berkaitan ganja di Johor, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kami akan bentangkan perkara ini kepada Kabinet terlebih dahulu dan keputusan akan dibuat secara kolektif,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia ke-31 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Jun.

Menurutnya, beberapa kementerian dan agensi lain turut terlibat dalam perkara itu termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), lapor The Star.

Isu tersebut timbul susulan gesaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, supaya polis menyiasat sebuah kilang di Senai, Johor, yang dikendalikan oleh Ispire Technology Inc – sebuah syarikat tersenarai di Nasdaq, berpangkalan di California.

Dr Ahmad Yunus, yang juga Ahli Parlimen (AP) Kuala Langat, mendakwa lesen pembuatan yang diberikan kepada Ispire oleh Mida menimbulkan persoalan sama ada ia turut meliputi pengeluaran produk berkaitan ganja yang jelas menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kilang tersebut dilaporkan sebagai pemegang lesen persekutuan pertama di Malaysia yang dibenarkan menghasilkan produk nikotin.

Walaupun penjualan cecair nikotin kini dikawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, perdebatan kini tertumpu kepada skop sebenar lesen berkenaan serta pemantauan terhadap bahan yang mungkin berkaitan dengan ganja.

Untuk makluman, Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengenakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan ‘vape’ mulai 1 Januari 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg