KUALA LUMPUR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah menyita iklan memaparkan rokok elektronik atau ‘vape’ di seluruh negeri itu, dengan Selangor dalam proses pertimbangan untuk melarang penjualannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin, berkata ia berikutan ancaman penggunaan rokok elektronik yang semakin membimbangkan khususnya kepada generasi muda.
“Kerajaan memutuskan supaya semua PBT di Selangor mengambil tindakan segera untuk merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk ‘vape’ di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun digital.
“Tindakan ini selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Cik Jamaliah berkata perkara itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektronik di Selangor.
Jelasnya, mesyuarat itu meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan ‘vape’ termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan serta pemantauan.
“Isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk ini.
“Sebagaimana dimaklumi, penggunaan ‘vape’ dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan ketara.
“Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna ‘vape’.
“Statistik ini amat membimbangkan dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan.
“Kerajaan negeri ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira kesan terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.
“Kerajaan Selangor juga amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.
Sejauh ini, hanya beberapa negeri iaitu Johor dan Kelantan sudah menguatkuasakan larangan penjualan ‘vape’, manakala larangan sama akan dikuatkuasakan di Terengganu dan Perlis bermula 1 Ogos ini.
Mutakhir ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan melarang penjualan dan penggunaan ‘vape’ bagi menangani peningkatan risiko kesihatan serta penyalahgunaan bahan terlarang termasuk dadah menerusi ‘vape’ dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar sekolah dan belia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg