Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Vape’ jerat remaja M’sia ke lembah dadah

Jun 3, 2025 | 2:10 PM
vape, remaja, malaysia
Bahan terlarang dalam ‘vape’ boleh memberi kesan terus kepada sistem saraf dan otak, menyebabkan kerosakan kekal yang sukar dipulihkan, berbeza dadah konvensional yang masih boleh dirawat jika dikesan awal. - Foto hiasan NSTP

PENDANG (Kedah): Hanya dengan RM1 ($30 sen), remaja di Malaysia kini boleh mendapatkan satu titis ‘vape’, atau rokok elektronik, yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang, sekali gus menjerat mereka ke arah penagihan dadah.

Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad, berkata trend itu sangat membimbangkan dan kian menular dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kegiatan ini sukar dikesan tetapi apabila sudah rosakkan saraf otak anak kita, masa itu sudah terlambat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Zulkifly berkata bahan terlarang dalam ‘vape’ boleh memberi kesan terus kepada sistem saraf dan otak, menyebabkan kerosakan kekal yang sukar dipulihkan, berbeza dadah konvensional yang masih boleh dirawat jika dikesan awal.

Katanya, pengedaran ‘vape’ dicampur bahan berbahaya kini mudah diperoleh remaja kerana dijual tanpa kawalan, malah sering dipasarkan dalam bentuk titisan yang sukar dikesan.

“Jadi, ibu bapa dan guru perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak, terutama jika mula menunjukkan kelainan seperti murung, agresif atau sering menyendiri,” katanya.

Datuk Zulkifly juga menyarankan undang-undang berkaitan ‘vape’ dikaji semula, terutama membabitkan produk dicampur dadah, supaya pengedar dan penjual dapat dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman lebih tegas.

“Ini bukan soal rokok elektronik biasa, sebaliknya ‘vape’ dicampur dadah seperti syabu dan ‘mushroom’ yang merosakkan otak anak kita dalam diam.

“Jadi, perlu ada undang-undang lebih kukuh supaya tindakan boleh diambil terhadap pengedar,” katanya.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menegaskan, sebarang aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik di pasaran tempatan masih dikawal mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta beberapa peraturan agensi lain.

Kementerian itu berkata pengeluaran Lesen Pengilang adalah di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), bukannya di bawah seliaan KKM.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan mengenai sebuah syarikat yang mendapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel yang mengandungi campuran nikotin secara interim.

Justeru, katanya sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik adalah keputusan kolektif oleh semua agensi kerajaan terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg