PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kelahiran hidup sebanyak 4.5 peratus pada 2025, dengan kadar kesuburan wanita turut merosot kepada 1.5 anak, sekali gus memperlihatkan trend penurunan kelahiran di negara itu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, berdasarkan laporan Perangkaan Penting Malaysia 2026 yang diterbitkan pada 15 Oktober, sebanyak 396,175 kelahiran hidup direkodkan pada 2025, berbanding 414,918 kelahiran pada 2024, iaitu pengurangan 18,743 kelahiran.

Menurut DOSM, penurunan itu turut menyaksikan kadar kelahiran kasar (CBR) merosot kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 12.2 kelahiran pada tahun sebelumnya (2024).

“Semua kumpulan etnik utama merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding 2024.

“Kumpulan etnik Melayu merekodkan CBR tertinggi dengan 14.9 kelahiran, manakala etnik Cina kekal merekodkan CBR terendah dengan 5.0 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025,” tambah kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

DOSM memaklumkan, semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding 2024 dengan Terengganu merekodkan CBR tertinggi iaitu 18.7 kelahiran.

Pulau Pinang pula merekodkan CBR terendah dengan 9.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

Menurut DOSM, Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Malaysia turut merosot daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025 bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.

“Etnik Melayu kekal tidak berubah dan terus merekodkan TFR tertinggi dengan 1.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.

“TFR bagi Bumiputera lain menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025, manakala TFR bagi etnik India kekal tidak berubah pada 1.1 anak.

“Etnik Cina merekodkan TFR terendah, menurun daripada 0.9 anak kepada 0.7 anak pada 2025,” tambah kenyataan itu.

Di peringkat negeri, DOSM memaklumkan bahawa Terengganu merekodkan TFR tertinggi dengan 2.5 anak pada 2025, diikuti Kelantan (2.3) dan Pahang (1.8).

Sebaliknya, Pulau Pinang merekodkan TFR terendah dengan 1.1 anak, susut daripada 1.2 anak pada 2024.

Menurut DOSM, bilangan kematian meningkat 0.4 peratus daripada 198,992 kematian pada 2024 kepada 199,807 kematian pada 2025.

“Kadar kematian kasar (CDR) kekal tidak berubah pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025.

“Etnik India merekodkan CDR tertinggi dengan 8.2 kematian, manakala Bumiputera lain merekodkan CDR terendah dengan 5.7 kematian pada 2025.

“Selain itu, CDR bagi etnik Cina menurun daripada 7.6 pada 2024 kepada 7.5 pada 2025,” ujar kenyataan itu.

DOSM memaklumkan, Perak merekodkan kadar kematian kasar tertinggi iaitu 8.2 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Putrajaya mencatatkan kadar terendah sebanyak 2.6 kematian.