Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar kesuburan M’sia terus merosot
Jumlah kadar kesuburan direkod 1.6 anak bagi setiap wanita 15-49 tahun pada 2024
Kadar kesuburan M’sia terus merosot
KUALA LUMPUR: Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) negara ini terus berada di bawah paras penggantian penduduk, apabila ia merekodkan 1.6 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024.
Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah, berkata kadar itu jauh lebih rendah berbanding paras penggantian penduduk, iaitu sekitar 2.1 anak bagi setiap wanita.
“Berdasarkan penerbitan Perangkaan Penting Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), TFR Malaysia bagi 2024 adalah 1.6 orang anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun.
“Kadar ini jauh lebih rendah berbanding paras penggantian penduduk, iaitu sekitar 2.1 orang anak bagi setiap wanita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengikut kumpulan etnik, masyarakat Melayu mencatatkan TFR tertinggi pada 2024 iaitu 1.9 anak bagi setiap wanita, diikuti Bumiputera lain sebanyak 1.6, India (1.1) dan Cina (0.9).
Datuk Abdul Shukur berkata masyarakat Cina mencatat kadar kesuburan paling rendah, namun fenomena itu tidak wajar dikaitkan dengan faktor budaya atau kaum semata-mata.
“Antara faktor yang mempengaruhi kesuburan rendah ialah perkahwinan yang semakin dilewatkan, umur mendapat anak pertama yang semakin meningkat dan kos sara hidup dan perumahan.
“Faktor lain yang turut tersenarai ialah kos penjagaan dan pendidikan anak, penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam pendidikan dan pekerjaan serta cabaran mengimbangi tanggungjawab kerja dengan keluarga,” katanya.
Menurutnya, dalam masyarakat bandar khususnya, pasangan juga lebih cenderung membuat perancangan keluarga dengan lebih berhati-hati.
“Keputusan mendapatkan anak kedua atau ketiga bukan sahaja bergantung kepada keinginan mempunyai anak, tetapi kepada persoalan sama ada keluarga mempunyai masa, kewangan, sistem penjagaan anak dan sokongan tempat kerja yang mencukupi,” katanya.
Lantaran itu, ujarnya, Malaysia perlu mempergiat usaha bagi memperlahankan kemerosotan kadar kesuburan untuk mengelakkan penyusutan penduduk dan ketidakseimbangan struktur umur menjelang 2100.
Datuk Abdul Shukur berkata kemerosotan kesuburan bukan hanya berlaku di Malaysia, malah menjadi trend sejagat, terutama di negara maju, apabila semakin ramai wanita melanjutkan pelajaran, menyertai pasaran pekerjaan dan menangguhkan perkahwinan serta kelahiran anak.
“Malaysia antara negara yang mengalami penurunan kadar kesuburan dengan pantas. Jika dilihat pada data 2015 hingga 2024, kadar itu turun 0.4 mata dalam tempoh kira-kira 10 tahun.
“Jadi usaha perlu dilakukan untuk memperlahan trend ini supaya kita dapat melambatkan penyusutan penduduk,” katanya.
Menurut Datuk Abdul Shukur, berdasarkan kajian berkaitan kependudukan, Malaysia dijangka tidak mencapai sasaran penduduk 70 juta menjelang 2100 seperti pernah diunjurkan sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya Malaysia perlu memberi perhatian kepada perubahan struktur penduduk apabila kadar kelahiran terus rendah, manakala jangka hayat semakin meningkat.