Oleh kerana Singapura kini berstatus masyarakat sangat tua (super-aged society) dengan kadar warga emas wanita yang lebih besar, usaha menambah baik tahap kesihatan golongan ini akan meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan penduduk warga emas tempatan secara ketara, kata Pengerusi Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Sim Ann.

Lebih enam dalam 10 penduduk Singapura berusia 85 tahun dan ke atas adalah wanita, kata Cik Sim, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), pada persidangan tahunan kumpulan sokongan wanita parti itu pada 26 September.

Memastikan wanita menua dengan sihat akan membolehkan mereka menikmati kehidupan sejahtera lebih lama, di samping memberi manfaat kepada keluarga mereka, tambahnya.

Cik Sim, yang memimpin kumpulan itu sejak 2022, berucap di hadapan lebih 400 hadirin yang terdiri daripada aktivis PAP, Anggota Parlimen (AP), rakan kongsi dan tetamu lain di dewan hotel Mandarin Oriental Singapore.

Kenyataan beliau dibuat sehari selepas Singapura mengumumkan bahawa negara ini telah melepasi paras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi masyarakat sangat tua, dengan 21.4 peratus rakyatnya kini berusia 65 tahun dan ke atas.

PBB mentakrifkan masyarakat sangat tua sebagai sebuah negara di mana sekurang-kurangnya 21 peratus daripada jumlah penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas.

Cik Sim berkata Sayap Wanita PAP akan meneliti langkah terbaik bagi membantu wanita setempat menua secara sihat dengan menangani isu-isu seperti osteoporosis, penyakit kronik, kelemahan fizikal dan demensia secara lebih berkesan.

Kumpulan sokongan itu turut berhasrat untuk menggalak kesihatan wanita pada peringkat umur lebih awal supaya pilihan hidup mereka tidak dihadkan oleh keperluan kesihatan, jelasnya.

Bagi wanita lebih muda, isu kesihatan yang perlu diuruskan termasuk gangguan haid, masalah kesuburan, menopaus dan endometriosis.

“Sebagai contoh, dengan (trend) wanita berkahwin dan menimang cahaya mata pada usia lebih lewat, kita perlu memberi tumpuan kepada kesihatan reproduktif dan kesihatan ibu pada usia lebih lanjut,” kata Cik Sim.

“Oleh kerana (kita mempunyai) kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang tinggi, kita harus mempertimbangkan bagaimana tempat kerja boleh lebih menyokong keperluan kesihatan wanita.”

Sayap Wanita PAP, yang ditubuhkan pada 1989, meneliti isu-isu relevan bagi wanita dan mengusulkannya sebagai cadangan dasar.