Jika dahulu ramai warga Singapura hanya melintasi Tambak Johor untuk berbelanja, mengisi minyak atau menikmati makanan tempatan, kini Johor menawarkan satu lagi tarikan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung – kafe haiwan eksotik.
Di kawasan Skudai, dua kafe yang berkonsepkan interaksi dengan haiwan telah mencuri tumpuan ramai – As Clouds Cafe dan Capyba Cafe.
Keunikan kedua-duanya ialah peluang untuk makan sambil berinteraksi secara dekat dengan haiwan eksotik seperti alpaka, capybara, kambing mini dan biri-biri.
Bagi penggemar pengalaman unik, ia bukan sekadar menjamu selera, bahkan mengubat jiwa melalui belaian lembut haiwan jinak yang jarang dapat dilihat secara begitu dekat.
Pemilik As Clouds Cafe, Encik Nice Lee, memulakan perniagaan itu pada Disember 2023 atas dasar minat mendalam terhadap alpaka.
Terletak di Jalan Nakhoda 2, Taman Ungku Tun Aminah, kafe itu kini mempunyai 12 pekerja dan menawarkan menu gabungan makanan Barat dan Jepun seperti burger unagi dan cop ayam.
Harga makanan bermula daripada RM11 ($3.34) hingga RM30, sesuai buat pengunjung tempatan dan luar negara.
Namun tarikan utamanya ialah empat ekor alpaka yang menjadi ‘duta mesra’ kafe itu iaitu Coco, Melon, Lady, dan Gaga.
Coco dan Melon terkenal kerana sifatnya yang ramah, manakala Lady dan Gaga menjadi kegemaran remaja kerana corak bulu unik mereka.
Gaga misalnya mempunyai lingkaran hitam menyerupai sapuan maskara di sekeliling matanya, manakala Lady memiliki jalur hitam dari belakang badan hingga ke kaki belakang yang kelihatan seolah-olah sedang memakai seluar.
“Pada mulanya saya mencari idea untuk kafe haiwan. Anjing dan kucing agak bising, dan saya khuatir ia akan mengganggu jiran.
“Jadi saya memilih haiwan yang lebih senyap dan boleh dilatih untuk menggunakan tandas.
“Saya membuat penyelidikan dan mendapati alpaka sesuai,” jelas Encik Lee yang mengimport alpaka tersebut dari Australia.
Menurutnya, semua alpaka di kafe itu dilatih untuk membuang air di bilik khas. Mereka akan masuk ke ruang tersebut sendiri apabila tiba masa, dan ia memudahkan penjagaan kebersihan.
Makanan utama mereka ialah rumput import jenis timothy hay dan snek lobak merah.
Bagi memastikan kesihatan, alpaka itu dibawa berjumpa doktor haiwan setiap minggu.
“Alpaka boleh menenangkan jiwa. Ramai warga emas dan golongan kurang upaya datang untuk berehat dan berinteraksi dengan mereka,” tambah Encik Lee yang turut mendedahkan hasratnya membuka taman tema alpaka di Iskandar Puteri suatu hari nanti dengan sekurang-kurangnya 100 ekor haiwan itu.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui Berita Minggu (BM) meluahkan rasa teruja dapat menyentuh alpaka.
Seorang pekerja swasta, Cik Nadzirah Samsudin, 36 tahun, berkata beliau mengetahui mengenai kafe itu daripada rakannya melalui Instagram.
“Biasanya kalau di tempat lain, alpaka berada dalam kawasan berpagar dan tidak boleh didekati.
“Di sini, kita boleh sentuh, beri makan, dan mereka sangat jinak,” katanya sambil memuji rasa makanan di kafe itu.
Bagi Cik Intan Shakira Irwani Mohd Shukri, 23 tahun, keinginan memegang bulu alpaka yang sering digambarkan “selembut bantal” mendorongnya datang selepas melihat video di TikTok.
“Saya suka sebab alpaka di sini tidak agresif, berbeza dengan pengalaman di kafe kucing. Di sana banyak pantang larang. Di sini pula kebersihannya sangat terjaga,” jelasnya.
Tidak jauh dari kafe berkenaan, Capyba Cafe pula menawarkan pengalaman berinteraksi dengan capybara tikus gergasi yang berasal dari Amerika Selatan, serta kambing mini, biri-biri, dan alpaka.
Pengurusnya, Cik Winnie Chua, berkata idea membuka kafe ini tercetus daripada ibunya, Cik Joan, yang memelihara haiwan eksotik di rumah.
“Kami tidak sangka sambutan begitu menggalakkan, bukan sahaja daripada penduduk tempatan bahkan juga pelancong luar negara,” katanya.
Kini kafe itu menempatkan 12 ekor haiwan termasuk dua ekor capybara, lima ekor alpaka, tiga biri-biri dan dua kambing mini.
Semua haiwan dilatih untuk menggunakan tandas khas, dimandikan setiap minggu dan dibawa ke doktor haiwan secara berkala.
Capybara di sini diimport dari Afrika Selatan, manakala alpaka dari Australia.
Menu makanan Barat di kafe itu berharga antara RM18 dengan RM25, antaranya bagel madu, sandwic mentaiko telur gulung, aglio olio itik salai, dan ikan saba goreng tempura.
Menariknya, terdapat juga pencuci mulut puding berbentuk capybara yang comel.
Pengunjung seperti Encik Sharizan Rahman, 42 tahun, membawa anaknya yang meminati capybara untuk menyambut hari lahir di kafe itu.
“Biasanya kalau di zoo, kami hanya boleh melihat dari jauh.
“Di sini, anak saya dapat memegang, bergambar dan memberi makan. Ia menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Warga Singapura juga tidak ketinggalan.
Mahu dikenali sebagai Cik Shireen, 36 tahun, beliau yang tinggal di Bukit Batok mengetahui kafe itu melalui TikTok dan datang bersama ibu bapa serta anaknya.
“Kami biasanya datang ke Johor Bahru untuk beli-belah atau berjalan-jalan. Tidak sangka ada tarikan seperti ini. Ia memberi pengalaman berbeza kepada keluarga,” katanya.
Pasangan dari Singapura, Encik Aleksandr Dorogov, 24 tahun, dan Cik Trudie Khan, 22 tahun, pula menganggap pengalaman di kafe itu unik kerana haiwan dibiarkan berinteraksi bebas dengan pengunjung.
“Walaupun saya takut sikit pada mulanya, haiwan di sini sangat mesra dan jinak.
“Di tempat lain, haiwan biasanya dikurung. Di sini, kami boleh mendekati mereka dengan mudah,” kata Cik Trudie.
Fenomena kafe haiwan eksotik itu dilihat memberi dimensi baru kepada industri pelancongan Johor, terutama dalam menarik lebih ramai pengunjung dari Singapura yang mencari pengalaman hujung minggu berbeza.
Selain menyumbang kepada sektor makanan dan minuman (F&B), ia juga memperkukuh daya tarikan Johor sebagai destinasi pelancongan mesra keluarga.
Gabungan hidangan lazat, suasana santai, dan interaksi unik dengan haiwan eksotik menjadikan kafe seperti itu semakin mendapat tempat di hati pengunjung.
Bagi pemilik kafe, kejayaan itu bukan sahaja memenuhi impian mereka, malah membuka peluang kepada Johor untuk terus mencipta tarikan unik yang menggabungkan hiburan, pendidikan dan santapan dalam satu destinasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg