KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Parti Islam SeMalaysia (PAS) Perak, Encik Razman Zakaria, mengakui terkhilaf dan memohon maaf apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Cik Hannah Yeoh, mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Perkara itu dimaklumkan Encik Razman melalui satu hantaran di Facebook.
“Dalam ceramah panjang saya pada Ahad (26 Januari), satu minit video telah dikerat oleh media untuk dijadikan tajuk berita. Saya akui terkhilaf tentang maklumat yang saya kaitkan dengan YB Hannah Yeoh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Encik Razman, melalui komen berasingan mengakui mengikuti laporan disiarkan media berkaitan ceramahnya dalam program di Seri Iskandar pada 26 Januari, yang mana pemberitaan merujuk ayat berkaitan Cik Yeoh kira-kira kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.
“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL. Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL.
“Ia kesilapan kod yang berlaku tanpa sengaja. Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain, selain kejayaan program tiga hari tersebut,” ujar Encik Razman.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada Ahli Parlimen (AP) Segambut itu serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta berkenaan.
“Saya mengharapkan isu ini difahami dengan penjelasan yang saya berikan. Saya juga menyeru pemberitaan berbentuk menajamkan intelek rakyat dan bukan menajamkan permusuhan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Cik Yeoh pula menyelar kesilapan terbaru oleh Pesuruhjaya PAS Perak itu.
Menerusi platform X, beliau memberi amaran tentang tindakan undang-undang terhadap Encik Razman, lapor Malaysiakini.
“Sebenarnya ucapan Razman Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit.
“Nantikan surat daripada peguam saya. Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg