KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat deposit RM1.35 juta ($410,000) sebagai ganti rugi fitnah yang ditetapkan ke atasnya ekoran saman dikemukakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, sementara menunggu rayuan kes tersebut.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga membayar RM50,000 kepada Encik Lim sebagai kos berhubung dakwaan yang dibuatnya terhadap mantan menteri kewangan terbabit.
Peguam Encik Lim, Encik Guok Ngek Seong, pada 24 Januari mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin membuat pembayaran berkenaan sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Rayuan.
“Tan Sri Muhyiddin telah membayar baki RM1 juta ke dalam akaun pelanggan firma saya pada 23 Januari. Sebanyak RM400,000 telah dibayar pada Disember 2024,” katanya, lapor Malaysiakini.
Peguam Tan Sri Muhyiddin, Encik Chetan Jethwani, mengesahkan jumlah penghakiman tersebut telah didepositkan sementara menunggu rayuan anak guamnya.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 November untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Encik Lim, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Encik Lim selaku plaintif terhadap Tan Sri Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Pesuruhjaya Roz Mawar mendapati Encik Lim berjaya membuktikan kesnya terhadap Tan Sri Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Beliau memerintahkan Tan Sri Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia membayar ganti rugi am kepada Encik Lim sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Tan Sri Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Encik Lim yang juga bekas menteri kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg