Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak tiga tahun antara dua kes kematian akibat strok haba di M’sia

Apr 5, 2024 | 2:50 PM
Foto Fail: Tanah kering dan merekah berpunca dari cuaca panas melampau ekoran fenomena El-Nino di Kampung Gulau, Pokok Sena, Kedah setelah Pokok Sena mencatatkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba pada 18 Mac. Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pokok Sena mencatatkan 37 darjah Celsius iaitu pada tahap gelombang haba yang merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Foto Fail: Tanah kering dan merekah berpunca dari cuaca panas melampau ekoran fenomena El-Nino di Kampung Gulau, Pokok Sena, Kedah setelah Pokok Sena mencatatkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba pada 18 Mac. Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pokok Sena mencatatkan 37 darjah Celsius iaitu pada tahap gelombang haba yang merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia setakat ini sudah merekodkan dua kes kematian akibat strok haba, susulan cuaca panas dan kering melampau yang melanda negara sejak Februari lalu, dengan keseluruhan 37 kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas dicatatatkan.

Kes kematian terbaru dan kedua akibat strok haba membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pada 1 April di Kelantan, manakala seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun di Pahang direkodkan bagi kes kematian pertama pada 2 Februari lalu.

“Terdapat dua kes yang masih mendapat rawatan di hospital, iaitu satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa.

“Kes-kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh,” menurut laporan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 4 April, memetik sumber Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut laporan itu lagi, daripada peningkatan 37 kes penyakit berkaitan cuaca panas yang direkodkan, 10 didiagnos sebagai kes strok haba; 26 kes kelesuan haba dan satu kes kejang haba.

“Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah Perak (lapan kes); Kedah (lima); Johor (lima), Negeri Sembilan (empat); Sabah (empat); Selangor (tiga); Perlis (dua) dan masing-masing satu di Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pecahan kes mengikut umur adalah 27 dewasa, sembilan remaja dan satu kanak-kanak,” kata kenyataan itu memetik sumber Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 4 April pula, sehingga kini enam kawasan diletakkan pada cuaca panas tahap dua iaitu mengalami gelombang haba, dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah selsius, sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Kawasan berkenaan ialah Jeli dan Gua Musang di Kelantan; Jerantut, Raub, Temerloh dan Maran di Pahang.

Dalam pada itu 28 kawasan di seluruh negara terutama di negeri Kedah; Perak; Kelantan; Terengganu; Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak, berada pada cuaca panas tahap satu, dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah selsius, selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu The Star melaporkan, Malaysia mengalami cuaca panas dan kering berganda pada 2024, berdasarkan amaran suhu tinggi yang dikeluarkan pada 2024, melebihi bilangannya pada 2023.

Sehingga 4 April 2024, MetMalaysia telah mengeluarkan sebanyak 748 amaran mengenai peningkatan suhu di pelbagai kawasan di seluruh negara dan ia melepasi jumlah amaran pada 2023 iaitu sebanyak 397 amaran.

Cuaca panas dan kering melampau yang berlarutan kira-kira dua bulan turut menyebabkan banyak kawasan tanaman rosak, malah paras air di sungai dan empangan di beberapa kawasan menyusut ke tahap berjaga-jaga. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg