PUTRAJAYA: Lebih setengah bilion ringgit dijangka dapat dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia susulan kejayaan Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) membanteras kartel penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.
Serbuan dalam empat operasi menerusi Op Karen yang dijalankan MATF bersama beberapa agensi diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun berjaya menyelamatkan RM247 juta ($75.42 juta).
Timbalan Pengerusi MATF yang juga Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu tidak menggambarkan keseluruhan aktiviti sindiket penyeludupan diesel ke luar negara, sebaliknya lebih banyak wang hasil aktiviti berkenaan dijangka dapat dikembalikan semula.
“Seperti yang saya katakan, RM247 juta itu akan menjadi lebih tinggi kerana jumlah ini hanya sekadar jangkaan tempoh 10 tahun aktiviti itu berlaku termasuk berdasarkan rampasan yang dilakukan dan disita dalam Op Karen.
“Ia adalah operasi yang dijalankan di Sarawak sahaja. Jika kita lihat, trend penyeludupan di sana (Sabah) masih berlaku dan sekiranya ia tidak dibendung maka jumlah kerugian akan mencecah lebih tinggi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 22 September, lapor Harian Metro.
Selain itu, Tan Sri Azam tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan diesel berlaku akibat harga yang jauh lebih rendah di negara ini, selain masalah rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang melindungi kartel berkenaan.
“Berdasarkan pengumuman terbaru oleh Perdana Menteri hari ini (22 September), kita dapat melihat harga minyak Malaysia adalah jauh lebih rendah dan murah berbanding negara lain termasuklah Arab Saudi, iaitu RM2.15 (diesel) dan RM1.95 (RON95).
“Berlaku pemberian rasuah kepada pihak penguat kuasa yang disyaki melindungi kegiatan menyeludup bahan api ini,” ujarnya.
Katanya, MATF akan menjalankan operasi berterusan dan merampas pelbagai lagi aset yang dikaitkan dengan aktiviti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengenalpasti dalang termasuk penjawat awam yang disyaki terbabit aktiviti itu.
“Pihak kita (SPRM) juga sedang mengesan penjawat awam yang bersubahat dalam kes ini dengan satu siasatan berasingan akan dijalankan tidak lama lagi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg