Bermula 30 September ini, warga Malaysia akan menikmati petrol RON95 pada harga lebih rendah iaitu RM1.99 ($0.60) seliter, sementara warga asing bermastautin dan guna plat Malaysia perlu bayar RM2.60 seliter.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September, dengan semua warga Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dan mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) itu.
Ketika ini, warga Malaysia dan warga asing bermastautin dan guna plat Malaysia membayar harga petrol RON95 yang diberikan subsidi oleh kerajaan pada kadar sama iaitu RM2.05 seliter.
Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperkenalkan subsidi harga minyak menyeluruh kepada semua rakyatnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.
“Kerajaan Madani telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia.
“Manfaat dan keistimewaan ini adalah sebagai penghargaan dan semangat dari Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September... penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
“Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter bermula 30 September,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Anwar berkata berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 16 juta rakyat Malaysia akan menikmati faedah subsidi RON95 itu.
Menurutnya, semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter, bagaimanapun pemandu e-hailing (kenderaan sewa persendirian) dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon bagi had lebih tinggi.
“Purata (penggunaan petrol) sekarang dalam 150 liter sebulan, ada juga kebanyakan 200 liter sebulan dan paling tinggi 250 liter (sebulan), tidak ada yang mencecah 300 liter.
“Bagaimana e-hailing? Kalau e-hailing, itu kita kecualikan sebab anak muda, puluhan ribu yang bekerja untuk itu. Jadi mereka (perlu guna) lebih, kita beri pengecualian,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 22 September.
Kerajaan Malaysia pada Jun 2024 melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan menyusuli itu, kerajaan Madani pimpinan Datuk Anwar merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 bagi mengelak ketirisan subsidi terutama kepada bukan warga.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Datuk Anwar berkata warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.
Penurunan harga petrol itu pula adalah sebahagian janji Datuk Anwar ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan,” kata Datuk Anwar.
Beliau juga berkata penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 itu akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Bagi menjayakan pelaksanaan Budi95, penggunaan kad pengenalan atau MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan agar hanya warga yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat.
“Saya juga ingin mengingatkan rakyat untuk menyemak lebih awal cip MyKad dan lesen memandu masing-masing supaya tidak timbul masalah teknikal ketika mengisi petrol kelak,” katanya di Facebook.
Jelas Datuk Anwar, bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak, pelaksanaan Budi95 akan dilakukan secara berperingkat.
Ia meliputi tarikh tertentu iaitu 27 September 2025 di mana sistem Budi95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis dan diikuti penerima STR yang merupakan golongan kurang berkemampuan (B40) pada 28 September, sebelum dibuka kepada 16 juta warga Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg