Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meraih peningkatan sokongan daripada pengundi ketika memasuki pertengahan penggal mandat pentadbirannya pada 2025, dengan sejumlah 55 peratus memberi penarafan (rating) positif, lebih baik berbanding 54 peratus pada 2024.
Laporan berdasarkan tinjauan Merdeka Center – pertubuhan bebas yang memberi tumpuan pada penyelidikan pendapat umum dan analisis sosioekonomi – pada Mei lalu, melibatkan 1,208 pengundi berdaftar.
Ia mendapati majoriti rakyat Malaysia berpendapat negara itu berada di landasan lebih kukuh, pergolakan politik telah reda dan Datuk Anwar kini mengetuai kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Peningkatan populariti Datuk Anwar juga dinilai baik oleh pengundi berdasarkan kejayaan beliau mengangkat imej Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Beliau berbuat demikian melalui beberapa peranan diplomatik, termasuk menjadi tuan rumah Asean dan lawatan Presiden China, Encik Xi Jinping, pada April dan Mei.
“Beberapa langkah reformasi institusi seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 turut dilihat sebagai isyarat kepada tadbir urus yang lebih berprinsip.
“Dari segi ekonomi, data kerajaan menunjukkan kadar inflasi menurun kepada hanya 1.4 peratus pada Mac 2025 – terendah dalam tiga tahun – manakala pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4 peratus pada suku pertama 2025.
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 ($512), bantuan kewangan yang diberikan kepada penjawat awam menjelang perayaan, serta subsidi bahan api yang masih diteruskan, turut membantu meredakan keresahan awam terhadap kos sara hidup.
“Walaupun tinjauan menunjukkan isu ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama orang ramai, penarikan balik subsidi diesel pada 2024 yang tidak mengakibatkan kejutan harga telah membantu meredakan sentimen dan melegakan pengguna,” kata Merdeka Center dalam kenyataannya pada 23 Jun.
Tinjauan Merdeka Center turut menunjukkan kadar sokongan terhadap Kerajaan Madani pimpinan Datuk Anwar meningkat kepada 50 peratus pada Mei 2025, berbanding 40 peratus pada Jun 2024.
Sementara itu tahap ketidakpuasan terhadap Kerajaan Persekutuan pula menurun kepada 48 peratus pada 2025, daripada 58 peratus pada 2024.
Kerajaan Datuk Anwar turut menjadi perdebatan mutakhir ini dengan langkah memperkenalkan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai Julai 2025 yang dikritik, selain bakal melaksanakan subsidi bersasar yang menyaksikan penamatan subsidi petrol RON95 – dijangka pada separuh kedua 2025.
Sebelum ini Datuk Anwar turut terpalit dakwaan nepotisme dalam pemilihan peringkat Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuainya – menyaksikan puteri sulung beliau, Cik Nurul Izzah Anwar, memenangi jawatan Timbalan Presiden – yang kemudian membawa kepada peletakan jawatan dua menteri Kabinet.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg