Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarva Travel milik Jai Wahab, Rozza Ramli tebar sayap ke M’sia, dengan Aaron Aziz sebagai rakan kongsi
Karva Travel milik Jai Wahab, Rozza Ramli tebar sayap ke M’sia, dengan Aaron Aziz sebagai rakan kongsi
Pengalaman peribadi urus ahli keluarga jalani dialisis cetus inspirasi Aaron jadi pemilik bersama Karva Travel M’sia, ingin bantu jemaah uzur dan warga emas tunai ibadah dengan tenang
Karva Travel milik Jai Wahab, Rozza Ramli tebar sayap ke M’sia, dengan Aaron Aziz sebagai rakan kongsi
Karva Travel & Tours (Karva Travel), syarikat milik pasangan usahawan selebriti Singapura, Jai Wahab dan Rozza Ramli, melebarkan sayap ke Malaysia dengan penyertaan pelakon dan usahawan kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz, bersama isterinya, Datin Diyana Halik, sebagai rakan kongsi.
Karva Travel ditubuhkan di Singapura pada 2022, dan telah membina reputasi kukuh dalam menyediakan perjalanan ibadah yang dirancang dengan teliti, dengan penekanan terhadap layanan tamu bermutu, pengurusan tersusun serta penjagaan perubatan secara peribadi.
Aaron, 50 tahun, sebagai pemilik bersama dan Pengarah Karva Travel Malaysia, berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada pakej umrah premium serta perjalanan mesra Muslim dengan pendekatan lebih tersusun dan berpandukan bimbingan secara langsung kepada jemaah.
Beliau berkata pengalaman mempunyai anggota keluarga yang menjalani rawatan dialisis (CAPD) membuka matanya mengenai kepentingan perjalanan umrah yang disokong dari segi perubatan.
Menurut Aaron dan isterinya, Diyana, 44 tahun, pengalaman itu membuatkan mereka lebih memahami cabaran serta tahap persediaan yang diperlukan individu dengan masalah kesihatan tertentu ketika melakukan perjalanan ibadah.
“Kami melihat sendiri bagaimana pentingnya penyelarasan perubatan, persediaan dan keyakinan apabila seseorang perlu melancong dengan pertimbangan kesihatan tertentu.
“Pengalaman ini membuatkan kami lebih menghargai usaha menyediakan perjalanan umrah yang lebih selesa dan tenang kepada jemaah,” katanya pada majlis pembukaan rasmi Karva Travel di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 22 Mei.
Turut hadir Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin dan rakan selebriti seperti, Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah; pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, serta pelakon Nora Danish dan Nadia Nisaa.
Aaron, yang merupakan pelakon dan penerbit terkenal asal Singapura, berkata ramai individu sebenarnya menyimpan impian menunaikan umrah, namun kebimbangan terhadap faktor usia dan kesihatan sering menjadi penghalang baginya merealisasikan hasrat berkenaan.
“Saya percaya ramai menyimpan impian menunaikan umrah, tetapi dalam masa sama, berasa bimbang mungkin kerana faktor usia dan kesihatan.
“Karva Travel bukan sekadar mengurus perjalanan, tetapi turut memberi bimbingan, keyakinan dan sokongan kepada jemaah. Daripada persiapan sebelum berlepas, sepanjang berada di Tanah Suci sehingga pulang ke tanah air, jemaah tidak dibiarkan bersendirian.
“Inilah yang membuatkan saya percaya kepada misi Karva Travel dan memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu sambil merakamkan penghargaan kepada Jai dan Rozza, atas dedikasi membina Karva Travel sehingga menjadi jenama yang dipercayai.
Sebelum terlibat dalam perniagaan, Jai, 53 tahun, merupakan seorang penyanyi, manakala isterinya, Rozza, 43 tahun, adalah pelakon drama televisyen seperti Bara dan Lifeline.
Aaron berkata penglibatannya bersama Karva Travel juga lahir daripada keinginan menggunakan platform dan pengaruh dimiliki ke arah perkara yang lebih memberi makna kepada masyarakat.
Beliau, yang juga Naib Presiden Persatuan Keterangkuman, Kesedaran, Sokongan dan Advokasi Kesihatan Mental Malaysia (Miasa), berharap dapat mewujudkan perjalanan yang melangkaui sekadar aktiviti pelancongan, tetapi mampu membawa ketenangan dan pemulihan diri dan membina kekuatan buat golongan yang memerlukan sokongan.
Menurut Aaron lagi, beliau akan membawa jemaah umrah Karva Travel Malaysia dari 24 Jun hingga 4 Julai 2026 dan peluang ini turut dibuka kepada warga Singapura.
Katanya, dengan pelancaran Karva Travel Malaysia, syarikat itu bertekad menjadi antara jenama paling dipercayai dalam menyediakan perkhidmatan umrah, haji dan pelancongan mesra Muslim di rantau ini.
