Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia akan haramkan vape sepenuhnya, pelaksanaan dibuat secara bertahap

Ia sebagai langkah bendung salah guna alat, lindungi rakyat daripada penyakit mudarat
Sep 10, 2025 | 3:04 PM
Malaysia, menteri, vape, rokok elektronik
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto PARLIMEN MALAYSIA

Kerajaan Malaysia akan melaksanakan pengharaman penuh penggunaan dan penjualan rokok elektronik, atau, vape, sebagai langkah membendung penyalahgunaan alat itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelaksanaannya akan dilakukan secara bertahap, bermula dengan pengharaman sistem terbuka (open system), sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

“Kerajaan Persekutuan telah bersedia dan kini menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara pada 10 September. 

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa, yang bertanya adakah Kerajaan Persekutuan bersedia mengharamkan terus penjualan vape sepertimana yang telah dilaksanakan beberapa Kerajaan Negeri di Malaysia, agar kesihatan rakyat awam dapat terus dilindungi daripada penyakit yang memudaratkan.

Tanpa memperincikan garis masa untuk pelaksanaan pengharaman penuh vape di Malaysia, Dr Dzulkefly berkata sebagai langkah awal, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengadakan perbincangan terperinci bersama beberapa kementerian dan jabatan utama.

Katanya, ia merangkumi Kementerian Kewangan (MOF); Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU).

“Hasil penelitian dan cadangan pelaksanaan pengharaman vape ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dasar, seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan pengharaman penuh vape di Malaysia,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata KKM juga menyambut baik dan menyokong sepenuhnya langkah enam Kerajaan Negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang telah membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. 

“Ini merupakan pendekatan proaktif yang seiring dengan matlamat kesihatan awam negara,” katanya.

Bagaimanapun, sejauh ini hanya kerajaan Pahang yang akan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape bermula awal 2026, sementara lima negeri lain setakat ini hanya mengharamkan penjualan rokok elektronik itu.

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang sebelum ini telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik adalah haram kerana memudaratkan kesihatan dan membawa kepada pembaziran.

Langkah drastik Kerajaan Pahang itu menyusuli gesaan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, supaya penggunaan vape diharamkan secara total.

Penggunaan vape di Malaysia telah mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman kesihatan dan keselamatan warganya apabila PDRM mendedahkan adanya sindiket pengedaran dadah yang semakin berani memasukkan bahan ketagihan ke dalam cecair vape sebagai kaedah membentuk pelanggan tegar, terutama dalam kalangan remaja.

Berita Harian (BH) juga melaporkan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kelewatan kerajaan bertindak mengharamkan vape yang hanya akan memberi ruang kepada peningkatan ketagihan, eksploitasi remaja, kerugian sosial dan ancaman jenayah terancang dalam rantaian pengeluaran, pengedaran dan pemasaran produk vape di Malaysia.

Pelbagai pihak juga menggesa Kerajaan Malaysia mencontohi langkah Singapura mengharamkan terus penggunaan dan penjualan vape, dengan menetapkan undang-undang tegas terhadap kesalahan memiliki rokok elektronik itu.

“Hasil penelitian dan cadangan pelaksanaan pengharaman vape ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dasar, seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan pengharaman penuh vape di Malaysia.” 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg