PADANG BESAR (Perlis): Selepas kecoh di Johor Sabtu lalu, sebuah lagi kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, dikesan dan kali ini cuba memasuki Malaysia melalui laluan darat di Perlis.
Bagaimanapun lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baru tiba dari sempadan Malaysia-Thailand itu berjaya dihalang Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebelum diarah berpatah balik dengan segera.
Pengarah Kastam Perlis, Encik Ismail Hashim, berkata perkara itu dikesan kira-kira 12 tengah hari pada 2 Jun lalu, selepas lori kontena terbabit melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) di Padang Besar, Perlis.
“Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada dinding luar kontena itu.
“Oleh itu, lori terbabit ditahan bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata semakan bersama pihak agensi kerajaan lain mengesahkan kontena itu dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.
“Kita segera mengarahkan lori kontena berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama,” katanya.
Pada 2 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.
Datuk Ahmad Zahid berkata Malaysia sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan Israel.
Ia susulan isu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, mengenai keresahan orang ramai berhubung kewujudan kontena dari Israel di pelabuhan terbabit.
Kehadiran kontena ini mula dikesan dalam sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM yang berada di lebuh raya negara Malaysia pada 16 Mac 2024.
Menyusuli laporan itu, Kementerian Pengangkutan telah memberikan satu amaran keras kepada pengendali pelabuhan yang tersilap membenarkan kontena dengan logo syarikat berpangkalan di Israel itu keluar dari pelabuhan dan berada di lebuh raya.
Datuk Zahid turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat ZIM itu dan menurutnya siasatan itu penting supaya tiada lagi insiden sedemikian berlaku di mana-mana pelabuhan di negara ini.
Pada 7 Mei lalu, kerajaan Malayisa dilaporkan tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia teguh dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel masuk ke negara ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg