BAGAN DATUK (Perak): Siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor, perlu disegerakan, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Ahmad Zahid berkata Malaysia sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.
Menurut beliau, siasatan terperinci harus dilakukan termasuk melihat kemungkinan kontena terbabit dihantar oleh pihak ketiga.
“Jika ada barangan Israel berada di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, perkara ini harus kita lakukan pemantauan.
“Pihak Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia harus bertindak segera kerana kita tahu yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan, namun bagaimana peraturan-peraturan begitu ketat terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) untuk memasuki salah sebuah pelabuhan kita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini media tempatan melaporkan kewujudan kontena itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh dari beberapa pihak termasuk LPJ berhubung dakwaan ada kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel kelihatan di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.
Beliau berkata pendirian kerajaan negeri selari dengan kerajaan Persekutuan dalam soal tidak membenarkan syarikat perkapalan Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini.
Katanya, pihaknya akan memantau rapat perkembangan dan laporan daripada pihak berkaitan berhubung dakwaan ini.
Pada Disember 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan syarikat perkapalan ZIM yang berpangkalan di Israel, dilarang daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat berkenaan berkuatkuasa serta-merta.
Sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi tindakan ketenteraannya di Palestin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg