Sepang (Selangor): Seorang remaja berusia 19 tahun berhadapan dengan hukuman mati selepas dikenakan tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 15.75 kilogram, di Mahkamah Seksyen di sini pada 2 Ogos.
Abang Danny Abang Azlan mengangguk faham selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 9.24 malam pada 19 Julai di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Tuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Darren Ee.
Mahkamah menetapkan 1 November bagi sebutan semula kes dan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 2 pada 19 Julai kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ($149,267) ke Sarawak.
Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, berkata lelaki itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 15 bungkusan plastik berwarna hijau bertulis ‘Qing Shang’, yang kemudian disahkan mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki methamphetamine.
“Modus operandi suspek ialah menyorokkan dadah dalam kotak yang di dalamnya juga terdapat bungkusan makanan ringan seperti mi segera bagi mengaburi pihak keselamatan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg