Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia lebur sindiket rentas sempadan, rampas dadah RM16.6j

Apr 4, 2025 | 2:08 PM
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tengah), pada sidang media selepas pasukannya menumpaskan satu sindiket menyeludup dan mengedar dadah rentas sempadan Kedah dan Perlis ke Kuala Lumpur di Bukit Aman pada 4 April.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tengah), pada sidang media selepas pasukannya menumpaskan satu sindiket menyeludup dan mengedar dadah rentas sempadan Kedah dan Perlis ke Kuala Lumpur di Bukit Aman pada 4 April. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan selepas menangkap dua suspek dan merampas dadah syabu bernilai RM16.6 juta ($5 juta) dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Ampang, Selangor, pada 27 Mac.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya (AC) Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata sindiket itu dipercayai menggunakan inap desa untuk menyimpan dadah tersebut sebelum mengedarnya di dalam negara dan ke negara jiran.

Menurut beliau, polis menahan kenderaan yang dinaiki dua lelaki itu pada 7.20 pagi di Subang Jaya.

“Pemeriksaan di bahagian kerusi depan kenderaan itu menemui empat guni mengandungi 100 bungkusan plastik berisi dadah jenis methamphetamine.

“Selepas itu, pemeriksaan di bonet belakang kereta itu pula menemui dua lagi guni mengandungi 50 bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 156 kilogram,” katanya pada satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.

AC Mat Zani berkata menyusuli penangkapan lelaki berusia 21 dan 33 tahun itu, mereka menunjukkan arah dan polis menyerbu sebuah inap desa di Subang Jaya.

“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 12 guni mengandungi 300 bungkusan plastik berisi dadah yang disyaki methamphetamine.

“Pada hari sama, suspek turut memandu arah pasukan polis ke sebuah gudang di Taman Bukit Permai, Ampang, dan di situ ditemui dua guni mengandungi 50 bungkusan plastik berisi dadah yang sama,” katanya.

AC Mat Zani berkata keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 519 kilogram.

“Kami percaya modus operandi sindiket ini ialah menjadikan rumah inap desa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum ia diedar dalam pasaran tempatan dan luar negara.

“Rumah inap desa itu disewa pada harga RM195 satu malam sejak 26 Mac,” ujar beliau, sambil menambah bahawa sindiket itu aktif sejak September 2024 dan membawa masuk dadah dari negara jiran.

Beliau berkata dua lelaki yang ditahan itu adalah transporter (pengangkut) bagi sindiket itu. dan menerima bayaran antara RM5,000 dengan RM10,000 bagi setiap penghantaran.

Suspek kini ditahan direman 11 hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Sementara itu, AC Mat Zani juga berkata pusat hiburan di Malaysia dikenal pasti menjadi lokasi baru kegiatan penagihan dadah dan pusat pengedarannya.

Beliau berkata penagih kini tidak lagi berkumpul di bangunan kosong untuk mengambil dadah, sebaliknya memilih pusat hiburan untuk melakukan kegiatan itu.

“Kami sudah mengesan trend baru ini, dengan kebanyakan mereka mengambil dadah jenis jus, syabu, heroin dan ganja di pusat hiburan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg