Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam Perak rampas rokok seludup bernilai lebih RM2j

Nov 28, 2023 | 1:50 PM
RAMPASAN ROKOK TERBESAR: Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad (tiga dari kiri), menunjukkan rokok pelbagai jenama yang dirampas.
RAMPASAN ROKOK TERBESAR: Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad (tiga dari kiri), menunjukkan rokok pelbagai jenama yang dirampas. - Foto BERNAMA

IPOH: Jabatan Kastam Perak mencatat kejayaan terbesar tahun ini, merampas rokok seludup bernilai lebih RM2 juta ($571,878).

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad, berkata serbuan dilakukan di dua lokasi pada 23 November. Serbuan pertama di sebuah rumah kosong di kawasan perumahan di Sitiawan dan 2,568,470 batang rokok bernilai RM2,032,372.21 ditemui.

Serbuan kedua di sebuah rumah terbiar di Pantai Remis dan pelbagai jenama rokok bernilai RM100,907.40 ditemui.

“Terdapat 127,200 batang rokok yang disimpan di ruang tamu. Kita juga percaya barang rampasan itu disimpan di situ kerana cukai tidak dibayar,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat jabatan negeri di Taman Meru di sini pada Isnin.

Datuk Abdul Ghafar berkata pihaknya sedang berhubung dengan agensi lain untuk mengesan pemilik rumah berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira seminggu sebelum melakukan serbuan. Barangan seludup itu ditemui dalam kotak yang dibalut dengan plastik.

“Terdapat pelbagai jenama ditemui dan kami percaya ia diseludup masuk melalui laut. Berdasarkan kes sebelum ini, kami percaya ada yang berasal dari Vietnam dan Indonesia. Barangan seludup itu dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya, lapor The Star.

Mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh dikenakan denda 10 kali ganda nilai barangan seludup itu atau RM100,000, bergantung mana lebih tinggi, atau penjara antara enam bulan dan lima tahun, atau kedua-dua hukuman.

Datuk Abdul Ghafar berkata lebih 420 kes dikendalikan oleh jabatan negeri sejak Januari hingga November 2023.

“Sehingga kini, nilai keseluruhan rampasan seperti seludup, minuman keras, kenderaan dan dadah melebihi RM11 juta,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg