Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam Sabah rampas dadah 98kg bernilai RM2.89j

Jan 7, 2025 | 4:12 PM
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cik Siti Mang (tengah), menunjukkan dadah bernilai RM2.89 juta ($875,000) yang dirampas di Kota Kinabalu, Sabah.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cik Siti Mang (tengah), menunjukkan dadah bernilai RM2.89 juta ($875,000) yang dirampas di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto NSTP

KOTA KINABALU (Sabah): Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas 98 kilogram (kg) syabu dan ganja bernilai RM2.89 juta ($875,000).

Semua dadah itu cuba dibawa masuk melalui perkhidmatan udara dalam dua siri rampasan pada 29 November dan 9 Disember 2024.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cik Siti Mang, berkata kes pertama dikesan di MAS Kargo, Kota Kinabalu, apabila tiga bungkusan berisi dadah jenis methamphetamine dirampas.

Semua dadah seberat 60.9kg dan dianggarkan bernilai RM1.95 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes rampasan kedua dilakukan pada 10.30 pagi membabitkan dua bungkusan berisi 20.2kg syabu.

“Semua dadah yang disembunyikan dalam kotak kertas A4 dianggarkan bernilai RM696,114,” katanya dalam satu sidang media, lapor Berita Harian Malaysia.

Cik Siti Mang berkata sepanjang 28 November hingga 20 Disember 2024, pihaknya merampas 28 bungkusan dan pemeriksaan mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Semua rampasan dadah seberat 17.1 kilogram dan dianggarkan bernilai RM250,038.

“Selain itu kita turut merampas 50 kotak ‘Chewing Tobacco’ di Pelabuhan Sepanggar pada 2 Januari lalu,” katanya.

Bahan larangan dianggarkan bernilai RM194,810 termasuk cukai, dirampas selepas dikesan gagal mengemukakan permit import yang sah.

Sementara itu di Johor Bahru, sepasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 7 Januari atas tuduhan mengedar 14.42kg dadah di bandar raya itu pada Disember 2024.

Cheng Ee Fei, 32 tahun, dan Chan Pei Een, 34 tahun, hanya mengangguk faham terhadap tuduhan itu selepas dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut tuduhan, kededua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan seberat lebih 14.42 kg.

Dalam mahkamah yang sama, Cheng dan Chan turut berdepan dua tuduhan memiliki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 24.58 gram dan methamphetamine dengan anggaran berat 2.75 gram.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi, masa dan waktu yang sama dengan tuduhan pertama iaitu dalam kenderaan di tepi jalan Persiaran Mutiara Mas, Johor Bahru.

Bagaimanapun kededuanya membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada selepas tuduhan dibacakan.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg