Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 maut dalam konsert di Selangor: Polis rakam keterangan penganjur

Jan 7, 2025 | 11:57 AM
Konsert PinkFish sempena sambutan ambang tahun baru 2025 pada malam 31 Disember 2024 telah menyebabkan empat maut dipercayai akibat pengambilan dadah.
Konsert PinkFish sempena sambutan ambang tahun baru 2025 pada malam 31 Disember 2024 telah menyebabkan empat maut dipercayai akibat pengambilan dadah. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Selangor sudah merakamkan keterangan penganjur Konsert PinkFish berhubung kematian empat pengunjung dan kecederaan yang dialami tiga pengunjung lain pada ambang tahun baru 31 Disember 2024.

Setakat ini seramai 43 individu sudah dirakam kenyataan bagi membantu siasatan berhubung kematian yang disyaki akibat pengambilan dadah jenis pil Ecstasy ketika konsert berlangsung.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Wan Azlan Wan Mamat, berkata penganjur konsert sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di Selangor, pada 6 Januari.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi lain yang dapat membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Saksi ini terdiri daripada ahli keluarga dan rakan kepada tujuh mangsa, kakitangan taman tema lokasi berlangsungnya acara PinkFish, pegawai perubatan yang memberi rawatan serta pegawai daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Wan Azlan berkata pihaknya masih menunggu laporan toksikologi berkaitan empat mangsa yang maut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa hasil bedah siasat terhadap empat pengunjung berusia 20-an hingga 40-an tahun yang meninggal dunia serta pemeriksaan ke atas tiga pengunjung lain dipercayai akibat pengambilan dadah.

Menurutnya kesemua mangsa yang datang secara berasingan dan tidak mengenali antara satu sama lain berkemungkinan membeli dadah ketika berada di konsert berkenaan.

Menyusuli kejadian itu, polis Selangor pada 3 Januari mengumumkan penangguhan sementara kebenaran permit untuk penganjuran konsert di Selangor, sehingga siasatan kes kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, selesai dijalankan.

Datuk Hussein berkata arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberi jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert terutama menghalang unsur jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.

Langkah menangguhkan sementara penganjuran konsert di Selangor itu turut memberi kesan kepada Selangor yang menyambut Tahun Melawat Malaysia Selangor 2025, termasuk penganjur yang melaburkan wang bagi persiapan penganjuran beberapa konsert yang telah dijadualkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg