SHAH ALAM: Kawalan keselamatan lebih ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendorong sindiket dadah antarabangsa menggunakan lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia sebagai laluan alternatif untuk menyeludup keluar dadah ke pasaran Eropah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata perkara itu terbongkar menyusuli kejayaan polis merampas kira-kira 270 kilogram bunga ganja bernilai RM21.62 juta ($6.76 juta) menerusi Op Lejogaster di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil risikan dan pemantauan berterusan JSJN Bukit Aman dari 12 Julai hingga 3 Ogos lalu, turut membawa kepada penahanan sembilan suspek termasuk lapan warga asing dan seorang lelaki warga Malaysia berusia antara 22 hingga 51 tahun.

“Daripada lapan warga asing yang ditahan, dua ialah warga Singapura, lima warga Portugal dan seorang warga Myanmar.

“Tiga serbuan dijalankan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, selain menyelamatkan empat warga asing yang dipercayai bakal dieksploitasi sebagai keldai dadah.

“Serbuan pertama pada 12 Julai di hadapan sebuah hotel di Bayan Lepas membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan 31.7 kilogram bunga ganja yang disembunyikan dalam dua bagasi.

“Pemeriksaan susulan di sebuah rumah di kawasan sama menemukan 31 kilogram lagi bunga ganja dalam 60 bungkusan.

“Hasil risikan lanjut kemudian membawa kepada serbuan kedua pada 3 Ogos di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, dekat Nilai, Negeri Sembilan, yang menyaksikan seorang lelaki ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 10 bagasi mengandungi 170 bungkusan bunga ganja seberat 175.8 kilogram,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa, di Shah Alam, Selangor, lapor laman web agensi berita nasional, Berita RTM.

Datuk Hussein berkata serbuan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing serta rampasan 31.6 kilogram bunga ganja dalam dua bagasi.

“Secara keseluruhan, polis merampas kira-kira 270 kilogram bunga ganja serta sejumlah kecil methamphetamine, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM21.62 juta.

“Jumlah rampasan bunga ganja itu dianggarkan mampu memusnahkan sehingga 630,000 orang,” katanya.

Tambah beliau siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu dan mendapatkan bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui sempadan negeri-negeri di utara Semenanjung.

Dadah terbabit kemudian disimpan sementara di beberapa rumah teres berhampiran lapangan terbang di Bayan Lepas dan Nilai sebelum diserahkan kepada keldai dadah untuk dibawa keluar melalui lapangan terbang antarabangsa.

Sindiket itu dipercayai didalangi seorang lelaki warga Portugal yang menyelaraskan kegiatan dari Eropah, termasuk membawa masuk individu ke Malaysia untuk dijadikan keldai dadah.

Laluan yang digunakan kebanyakannya melalui Bayan Lepas dan KLIA, sama ada secara terus atau transit di Singapura sebelum menuju ke London untuk diserahkan kepada sindiket lain.