Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran gambut Sungai Buntu di Johor dipadam sepenuhnya
Operasi pemadaman di Bukit Pelali pula mencapai 70 peratus
Kebakaran gambut Sungai Buntu di Johor dipadam sepenuhnya
PENGERANG (Johor): Kebakaran hutan gambut seluas 10.1 hektar di Kampung Sungai Buntu berjaya dipadamkan sepenuhnya, manakala operasi di Bukit Pelali kini mencapai 70 peratus.
Menurut laporan harian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setakat 12 tengah hari, 8 September, operasi pemadaman di Kampung Sungai Buntu ditamatkan pada 12.30 tengah hari.
Kebakaran itu dilaporkan pada 1.13 petang, 7 September dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
Seramai lima anggota bomba dan enam anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rengit terlibat dalam operasi tersebut.
Aset yang digunakan termasuk sebuah jentera bomba, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori tangki air dan dua kenderaan Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rengit.
Walaupun operasi pemadaman telah ditamatkan, pemantauan berkala akan diteruskan di kawasan terlibat dan sekitarnya bagi memastikan kebakaran tidak berulang.
Pasukan pemadam sebelum ini berdepan keadaan cuaca panas dan kering serta tiupan angin kuat yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat.
Sementara itu, sebanyak 12 hektar atau 70 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran seluas 17 hektar di belakang Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Pintasan Sebana Cove-Punggai telah dipadamkan.
Ini menunjukkan tambahan 5.2 hektar kawasan berjaya dipadamkan, berbanding 6.8 hektar atau 40 peratus yang dilaporkan pada 4 petang, 7 September.
Baki kawasan yang masih perlu dipadamkan dianggarkan seluas lima hektar.
Kebakaran yang dilaporkan pada 5.08 petang, 6 September itu dibahagikan kepada dua kawasan operasi, iaitu Sektor A seluas 13 hektar dan Sektor B seluas empat hektar.
Seramai 42 anggota dan petugas daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan.
Jumlah itu merangkumi 20 pegawai dan anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove, Punggai, Bandar Penawar dan Sungai Rengit, selain kakitangan Pejabat Zon 2.
Mereka dibantu tujuh kakitangan Ranhill SAJ, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, empat anggota polis, lima kakitangan Jabatan Alam Sekitar dan seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Operasi menggunakan dua jentera bomba, sebuah lori tangki bomba, empat lori tangki Ranhill SAJ, lima pam mudah alih, sebuah jengkaut, tiga kenderaan pacuan empat roda, dua janakuasa dan dua khemah operasi.
Di Sektor A, pasukan menjalankan pemadaman secara serangan langsung menggunakan dua aliran salur air dengan bekalan daripada lori tangki bomba dan Ranhill SAJ.
Pemadaman di Sektor B pula dilaksanakan menggunakan satu aliran salur air, dua pancutan dan pam mudah alih dengan bekalan air daripada lori tangki Ranhill SAJ.
Operasi masih berdepan beberapa cabaran, termasuk tiupan angin kuat, kebakaran yang berlaku secara bertompok-tompok serta keadaan hutan yang menyukarkan pergerakan anggota dan kerja pemadaman.
Dua pam mudah alih yang rosak ketika operasi telah dihantar kepada bahagian kejuruteraan untuk dibaiki.
Pemantauan berkala akan terus dilakukan di kawasan kebakaran dan sekitarnya bagi mengawal api daripada merebak, serta mengelakkan api kembali menyala.
