Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran tanah gambut jejas teruk mutu udara Balok Baru, Pahang

Mar 4, 2025 | 12:17 PM
Kawasan ladang kelapa yang terbakar pada 3 Mac, menyebabkan pencemaran udara di Balok Baru, Kuantan, Pahang, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ mencatat paras 250, iaitu sangat tidak sihat.
Kawasan ladang kelapa yang terbakar pada 3 Mac, menyebabkan pencemaran udara di Balok Baru, Kuantan, Pahang, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ mencatat paras 250, iaitu sangat tidak sihat. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT PAHANG

PUTRAJAYA: Kawasan Balok Baru di Kuantan, Pahang, merekodkan mutu udara amat tidak sihat sejak 3 Mac, akibat kebakaran tanah gambut di sebuah ladang kelapa di Gebeng, Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balok Baru dicatatkan pada paras 250, iaitu sangat tidak sihat.

Pengarah JAS Pahang, Encik Wandi Yadzid Yaakob, berkata pihaknya sedang memantau keadaan dan bacaan IPU didapati meningkat dengan ketara.

“Jarak tempat kebakaran dengan kawasan tersebut (Balok Baru) lebih kurang 11 kilometer, kemungkinan arah angin membawa ke Balok Baru,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata penduduk tempatan dan berhampiran, terutama pelajar serta warga emas dan individu mempunyai penyakit berkaitan pernafasan, tidak digalak melakukan kegiatan luar.

JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A & 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk tindakan hebahan notis kesiapsiagaan operasi bencana bagi mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri dan mengambil respons berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya.

Perkembangan terbaru pencemaran udara di Balok Baru itu mengundang kebimbangan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang berharap semua penduduk di kawasan sekitar, terutama yang mempunyai masalah pernafasan, lebih berhati-hati supaya tidak menerima kesan langsungnya.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata Sultan Abdullah turut mengarahkan kegiatan luar dihentikan buat masa ini bagi mengelak dijangkiti sebarang masalah kesihatan.

Ia termasuk kegiatan pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

“Selain itu, Sultan Abdullah mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, terutama ketika musim cuaca panas dan berangin ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg