Singapura dan Malaysia setuju untuk terus berkongsi maklumat mengenai ekologi kawasan selat Johor bagi memulihara biodiversiti marin di sana, serta meneruskan usaha bersama dalam pemantauan kualiti air di selat itu.
Selat Johor kini di bawah tekanan akibat pelbagai sumber, termasuk ladang akuakultur dan tebus guna tanah.
Di sepanjang selat, pengaliran air agak terhad, dan air itu kaya dengan nutrien serta lebih rendah oksigen.
Ini berlaku ketika Singapura pada 19 November mengumumkan rancangan menyeluruh untuk merombak sektor akuakultur yang membendungnya dengan tujuan meningkatkan pengeluaran ikan sambil menjaga persekitaran marin, lapor The Straits Times.
Di bawah pelan baru itu, kesan alam sekitar ladang akan dinilai berdasarkan jumlah nutrien seperti nitrat dan sulfat yang dilepaskan ke dalam air untuk mengelakkan antaranya alga mekar.
Kedua-dua negara mempunyai ternakan ikan di sepanjang Selat Johor. Amalan pertanian yang tidak mampan seperti memberi makan berlebihan atau pembebasan terlalu banyak nutrien ke dalam laut boleh menjejaskan kualiti air dan kehidupan laut selat itu.
Atas jemputan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, melawat Singapura pada 26 dan 27 November bagi Pertukaran Lawatan Tahunan Malaysia-Singapura antara kementerian sekitaran.
Sejak 1979, mesyuarat tahunan ini telah memudahkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua kementerian dalam hal berkaitan alam sekitar, kata kedua-dua kementerian dalam satu kenyataan bersama pada 27 November.
Cik Fu dan Encik Nik Nazmi menyatakan bahawa kedua-dua negara telah bertukar-tukar maklumat dan membincangkan kerja tebus guna tanah yang menjejaskan alam sekitar di Selat Johor serta potensi kesan buruk merentas sempadan kerja-kerja itu.
Selama bertahun lamanya, terdapat kebimbangan mengenai kesan rentas sempadan ke atas kedua-dua negara yang disebabkan oleh penambakan.
Pada 2014, pemerintah Singapura membangkitkan kebimbangan mengenai projek yang melibatkan proses memanjangkan garis pantai Johor Bahru lebih dekat ke Singapura.
Ini adalah untuk projek rumah mewah bertingkat tinggi, Princess Cove, yang melibatkan dua tebus guna tanah di kedua-dua belah Tambak.
Pada 2015, Malaysia memberi kebenaran untuk projek itu. Pada tahun berikutnya, Singapura berkata bahawa kerja-kerja penambakan untuk beberapa projek Malaysia di Selat Johor telah dimulakan tanpa kajian yang diperlukan mengenai potensi kesan alam sekitar.
Pada 27 November, kedua-dua menteri bersetuju bahawa adalah penting bagi Singapura dan Malaysia untuk terus memenuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut dan Perjanjian Penyelesaian 2005.
Perjanjian Penyelesaian ini bertindak sebagai penyelesaian pada pertikaian 2003 mengenai projek tebus guna tanah oleh Singapura, iaitu di Pulau Tekong dan Tuas View Extension. Projek-projek itu didakwa melanggar hak Malaysia di kawasan itu dan Malaysia memulakan timbang tara antarabangsa terhadap Singapura.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua negara mesti memantau persekitaran mereka di Selat Johor, berkongsi maklumat dan menangani sebarang kesan buruk.
Kedua-dua menteri juga menegaskan kedua-dua negara mempunyai kerjasama yang baik dalam bertindak balas terhadap tumpahan minyak, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan biodiversiti.
Tumpahan minyak Pasir Panjang pada Jun, yang menyebabkan 400 tan minyak bocor ke laut, adalah contoh terbaru.
Insiden itu merupakan tumpahan minyak terbesar Singapura dalam tempoh lebih sedekad dan ia sampai ke persisiran pantai Johor.
Pada 18 Jun, empat hari selepas tumpahan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), memaklumkan Jabatan Alam Sekitar Johor mengenai tumpahan dan menghantar maklumat.
Pada Julai, lebih 43 tan sisa tercemar minyak telah dikumpulkan oleh agensi Malaysia dari pantai Johor, dengan beberapa enap cemar ditinggalkan di kawasan bakau dan berbatu.
Pada mesyuarat 27 November, Cik Fu dan Encik Nik Nazmi menyatakan usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan dasar untuk mengurangkan pelepasan kenderaan dan menambah baik piawai bahan api untuk meminimumkan pencemaran udara.
Mereka bersetuju untuk terus bertukar maklumat mengenai dasar tersebut secara kerap.
Mereka juga mengalu-alukan latihan tumpahan bahan kimia yang dijalankan pada Julai 2023 di Laluan Kedua Malaysia-Singapura, dan menekankan bahawa latihan bersama sebegitu penting bagi kedua-dua pihak untuk mendapat respons yang pantas dan cekap terhadap insiden tumpahan kimia.
Singapura akan menganjurkan latihan seterusnya pada 2025, yang ke-14 seumpamanya.
Kedua-dua menteri memuji kerjasama antara Institut Sekitaran Singapura dan Institut Alam Sekitar Malaysia dalam peluang latihan dan pertukaran sumber.
Mereka menggesa kededua institut untuk bekerjasama dalam bidang seperti ekonomi pekeliling dan ketahanan iklim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg