Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebun durian haram di Pahang: AP Raub antara 2 ditahan

Apr 15, 2025 | 12:48 PM
Ahli Parlimen Raub (Pahang), Encik Chow Yu Hui (dua dari kiri), ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam melaksanakan tugas di kebun durian yang diteroka secara haram di Raub.
Ahli Parlimen Raub (Pahang), Encik Chow Yu Hui (dua dari kiri), ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam melaksanakan tugas di kebun durian yang diteroka secara haram di Raub. - Foto SAVE MUSANG KING ALLIANCE

KUANTAN: Ahli Parlimen (AP) Raub, Encik Chow Yu Hui, dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Encik Wilson Chang, ditahan polis pada 14 April, bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub, Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kededua individu itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada petang 14 April.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya, lapor Astro Awani.

Difahamkan, Encik Chow yang juga Penasihat Samka dan Encik Chang hadir ke IPD Raub pada 4 petang 14 April untuk dirakam keterangan, sebelum ditahan.

Sebelum ini, media Malaysia melaporkan sekumpulan pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah milik kerajaan di Raub, Pahang, didakwa menghalang penjawat awam melaksanakan tugas penguatkuasaan di situ.

Pekebun terbabit telah menghalang laluan penguat kuasa dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun.

Namun, keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kerajaan Pahang turut menafikan melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April.

Operasi penguatkuasaan berkenaan yang disertai antaranya, polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dijalankan meliputi semua kawasan penanaman yang diteroka tanpa kebenaran di Raub serta dijangka dilaksanakan hingga 3 Mei.

Kes pencerobohan tanah milik kerajaan Pahang bagi tanaman durian turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang menegaskan tanah di Pahang tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Sultan Abdullah turut meminta supaya rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ untuk beliau dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di Pahang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg