KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menegaskan tanah di Pahang tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Sultan Abdullah turut meminta supaya rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ untuk beliau dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di Pahang.
“Jangan bagi orang menceroboh tanah negeri Pahang ini, saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka (penceroboh).
“Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin,” ujarnya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, pada 13 April, lapor Harian Metro. Kenyataan itu dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Bagaimanapun, Sultan Pahang menegaskan supaya isu pencerobohan tanah diselesaikan dengan baik dan segala kekurangan diatasi secara harmoni.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan sekumpulan pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah milik kerajaan di Raub, Pahang, didakwa menghalang penjawat awam melaksanakan tugas penguatkuasaan di situ.
Pekebun terbabit telah menghalang laluan penguat kuasa dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.
Kerajaan Pahang juga menafikan melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April lepas.
Operasi penguatkuasaan berkenaan disertai antaranya polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dijalankan meliputi semua kawasan penanaman yang diteroka tanpa kebenaran di Raub serta dijangka dilaksanakan hingga 3 Mei ini.
Kes berkenaan kini berlarutan dengan polis akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen (AP) Raub, Encik Chow Yu Hui, bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub itu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, berkata Encik Chow yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, tiga laporan polis telah diterima membabitkan operasi itu daripada pegawai UPNP, pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Ketegasan Kerajaan Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian Musang King yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan Pahang itu mendapat sokongan penduduk setempat yang mahu pencerobohan tanah segera dibanteras.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg