Topik diikuti
Pergi ke BHkuKecederaan perut, leher dan lemas punca kematian 3 pekerja kontraktor di pelantar Terengganu-Kelantan
Kecederaan perut, leher dan lemas punca kematian 3 pekerja kontraktor di pelantar Terengganu-Kelantan
Kecederaan perut, leher dan lemas punca kematian 3 pekerja kontraktor di pelantar Terengganu-Kelantan
KUALA TERENGGANU: Kecederaan perut akibat hentakan kuat, cedera bahagian leher dan lemas menjadi punca tiga mangsa tragedi bot penyelamat terhempas di pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, pada 24 Mei.
Mangsa, Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Ab Majid, 37 tahun, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian perut akibat hentakan kuat.
Punca kematian Allahyarham Muhamad Faezuan Hakim Mohamad Bustaman, 28 tahun, pula akibat cedera di bahagian leher.
Sementara itu, Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria, 28 tahun, pula disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu akibat lemas, lapor Harian Metro.
Kecederaan yang dialami ketiga-tiga mangsa disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor.
Proses bedah siasat ketiga-tiga mangsa dijalankan kira-kira 10 pagi 25 Mei dan berakhir kira-kira 2.15 petang di Unit Forensik Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Ketiga-tiga mangsa maut, manakala seorang lagi cedera selepas terbabit kemalangan ketika kerja penyelenggaraan bot penyelamat di pelantar Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, kira-kira 12.50 tengah hari, pada 24 Mei.
Petronas pada 25 Mei turut mengesahkan kejadian membabitkan pekerja kontraktornya itu.
Jenazah Nik Muhammad Hafifi Majid dan Muhammad Faezuan Hakim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di Kuantan, Pahang, manakala jenazah Ahmad Fiqri pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka, pada 25 Mei.
Menyusuli kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memandang serius insiden maut membabitkan tiga pekerja kontraktor di landasan Sepat di perairan Terengganu-Kelantan itu.
Menerusi hantaran di aplikasi X, Datuk Anwar berkata siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan pekerja negara.
"Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini. Semoga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera," katanya.
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga pekerja yang maut dalam kes di pelantar Sepat itu.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berduka cita dan amat bersimpati atas tragedi berkenaan.
Dua daripada mangsa terkorban berasal dari Pahang iaitu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim, dari Kuantan dan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri dari Bandar Indera Mahkota.
