Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Wanita besi’ tak gentar laksana tugas di puncak bangunan tinggi dunia

Juruteknik akses tali jalankan tugas seperti cuci bangunan, tukar lampu dan pasang bendera
Jan 19, 2025 | 5:30 AM
Juruteknik akses tali yang dikenali sebagai wanita besi Malaysia, Cik Normalia Sidek, tidak gentar ‘menawan’ bangunan pencakar langit, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, yang pernah dinobatkan bangunan tertinggi di dunia.
Juruteknik akses tali yang dikenali sebagai wanita besi Malaysia, Cik Normalia Sidek, tidak gentar ‘menawan’ bangunan pencakar langit, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, yang pernah dinobatkan bangunan tertinggi di dunia. - Foto SIVA KUMAR

Benarlah kata pepatah, tangan wanita yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.

Perumpamaan itu amat sesuai untuk menggambarkan keberanian seorang wanita, Cik Normalia Sidek, 32 tahun, yang melakukan kerja yang benar-benar mencabar keupayaan mental dan fizikal dengan memanjat bangunan yang pernah dinobatkan tertinggi di dunia pada 1998 hingga 2004 – Menara Berkembar Petronas atau juga dikenali sebagai KLCC.

Tanpa rasa gayat, anak bongsu daripada lima beradik ini yang bekerja sebagai rope access technician atau juruteknik akses tali, langsung tidak gentar berada di puncak bangunan 88 tingkat setinggi 452 meter itu untuk menjalankan tugas seperti mencuci bangunan, menukar lampu dan memasang bendera.

Kata Cik Normalia setiap kerja di bangunan tinggi yang tidak dapat dicapai dan dilakukan oleh jentera seperti gondola atau skylift memerlukan tenaga dan kepakaran juruteknik akses tali sepertinya.

Pastinya detik paling manis buat Cik Normalia ialah apabila keberaniannya mendapat pujian mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pencetus idea terbinanya Menara Berkembar Petronas, menerusi satu video khas sempena ulang tahun ke-25 mercu tanda Kuala Lumpur itu pada Ogos 2024 lalu.

Malah, kata ibu kepada seorang ‘hero’ berusia dua tahun ini yang mencuri perhatian ramai selepas video memaparkan dirinya berada di puncak Menara Berkembar Petronas tular di laman sosial, beliau memperoleh kepuasan dalam kerjaya diceburinya itu yang disifatkan kesinambungan terhadap hobinya yang suka memanjat sejak kecil.

“Memang memanjat Menara Berkembar Petronas antara impian saya sejak bekerja dalam bidang ini dan alhamdulillah ia tercapai.

“Sebenarnya saya bermula dengan hobi. Daripada remaja hobi saya memanjat tebing. Dari situ saya tanam cita-cita untuk bekerja dalam bidang yang memberi peluang luas untuk saya terus enjoy (menikmati) hobi memanjat itu,” katanya sambil tertawa ketika ditemui Berita Minggu.

Menariknya, hobi ‘pelik’ Cik Normalia atau lebih mesra disapa Maya itu kini menjadi punca pendapatan lumayan buatnya dan membawanya mengembara ke serata dunia.

Pernah bekerja di butik pakaian dan sebagai anggota polis, Cik Normalia akui tidak dapat merasai kepuasan bekerja, menyebabkannya nekad mencari peluang mendapatkan lesen dalam bidang lasak itu.

Ternyata kerjaya diceburinya itu bukan saja membuahkan kepuasan buatnya, tetapi juga membolehkannya bertemu jodoh dengan suami, Encik Abdul Hazim Abdul Rashid, 29 tahun, yang bekerja dalam bidang sama.

Statusnya sebagai isteri, ibu dan wanita berhijab tidak sedikit pun mengganggu perjalanan kerjayanya, walaupun mengakui bukan calang-calang cabaran perlu ditempuhinya.

Selain memanjat bangunan pencakar langit, Cik Normalia juga terbabit dalam bidang penyelenggaraan paip di platform pelantar minyak di pesisir pantai (onshore) dan laut dalam (offshore) yang memerlukan beliau berjauhan dengan keluarga dalam tempoh panjang.

“Tiada kerjaya yang tidak mencabar, namun apabila kita minat, semuanya jadi lancar dan tiada masalah.

“Cumanya skop kerja yang memerlukan saya berada dalam tempoh lama di sesuatu lokasi kadangkala menyebabkan saya terpaksa berpisah dengan suami dan anak dalam tempoh lama. Paling lama pernah berjauhan selama dua bulan.

“Namun saya bersyukur kerana suami yang bekerja dalam bidang sama menjadi penyokong nombor satu dan sering memberi semangat,” kata anak jati Nilai, Negeri Sembilan itu.

Kata Cik Normalia, cabaran lain yang dilalui ialah hakikat yang tidak dapat dielak sebagai wanita apabila terpaksa bertugas ketika hari uzur dan kurang sihat pada setiap bulan.

“Untuk wanita, benda yang paling mencabar dalam kerjaya ini apabila hari bekerja ‘jatuh’ pada hari kita kurang fit atau uzur seperti waktu haid yang mana emosi kadangkala kurang stabil.

“Tambahan pula kita bekerja dengan majoriti lelaki dan tiada beza ketika bekerja, justeru perlu sentiasa bersedia mental dan fizikal.

“Maksudnya kalau lelaki boleh tarik tali, kita wanita pun kena tarik tali. Jadi kita perlu pastikan kita bersedia mental dan fizikal terutama ketika perlu bekerja di tempat tinggi,” tambahnya.

Berkongsi perbezaan cabaran bekerja di bangunan tinggi dan tengah laut, Cik Normalia berkata bekerja memeriksa paip di platform pelantar minyak lebih mudah berbanding memanjat bangunan tinggi.

Tegasnya, kededua tempat kerja itu memerlukan ciri keselamatan tertinggi, namun bersyukur sepanjang menceburi bidang ini sejak 2018, beliau tidak pernah mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, saya pernah menyaksikan keadaan cemas di depan mata ketika memanjat bangunan 30 tingkat, yang mana tali akses rakan setugas terputus, namun masih selamat kerana ada tali backup (tambahan).

“Kejadian sedemikian mencetus rasa trauma, tetapi kita perlu cepat-cepat kembali rasional dan perkuatkan diri,” katanya.

Walaupun bidang kerjaya diceburinya itu ibarat jiwa dan nadi buatnya, Cik Normalia berkata beliau berhasrat untuk bersara daripada kerja memanjat bangunan dan meredah samudera pada usia 40 tahun, bagi menumpukan perhatian terhadap keluarga.

“Bagaimanapun, saya tetap akan berada dalam bidang ini tetapi mungkin sebagai tenaga pengajar. Saya mahu kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada kepada anak muda dan generasi yang berminat dengan kerjaya ini,” katanya tersenyum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg