Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa banjir di Kedah naik lebih 2,000 orang

Sep 18, 2024 | 1:49 PM
Pandangan dari udara keadaan banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu, Kedah. Mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)  yang disediakan di beberapa kawasan di negeri itu.
Pandangan dari udara keadaan banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu, Kedah. Mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan di beberapa kawasan di negeri itu. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan apabila 2,194 mangsa daripada 388 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini sehingga pagi 18 September.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin, berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit mendaftar menggunakan Kod QR yang disediakan di 11 PPS yang terbabit di enam daerah di negeri itu.

“Jumlah mangsa meningkat berbanding 2,039 orang daripada 341 keluarga yang dilaporkan pada 11 malam hari sebelumnya,” katanya ketika dihubungi pada 18 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Zulkhairi berkata jangkaan di kawasan Sik, Yan dan Baling akan ada pembukaan PPS sekiranya hujan berterusan berikutan paras sungai di beberapa daerah di negeri itu menunjukkan trend menaik.

“Mudah-mudahan keadaan reda dan cuaca makin baik. Jumlah mangsa terus meningkat,” tambahnya.

Di Kota Setar, Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan bacaan 3.19 meter (m) melepasi 2.6m dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR menunjukkan bacaan 1.94m yang sudah melepasi 1.7m.

Dalam pada itu, Sungai Titi Kerbau, Kubur Panjang di daerah Pendang pula mencatatkan bacaan aras air 6.36m melepasi 6.3m, manakala Sungai Perik di Kampung Perik di daerah Padang Terap pula mencatatkan bacaan 14.83m yang melepasi 14.2m.

Kesemua 12 sungai di negeri itu menunjukkan trend air menaik dan dua daripadanya menurun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg