Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kedai jam 70 tahun di Kelantan buat lelongan, terpaksa tutup kerana tiada pewaris

Jun 5, 2025 | 2:13 PM
Pemilik kedai jam di Kota Bharu, Kelantan, Cik Tan Siew Wan, 75 tahun (kanan), melayan pelanggan ketika kedainya membuat lelongan untuk menutup kedai selepas 70 tahun operasi.
Pemilik kedai jam di Kota Bharu, Kelantan, Cik Tan Siew Wan, 75 tahun (kanan), melayan pelanggan ketika kedainya membuat lelongan untuk menutup kedai selepas 70 tahun operasi. - Foto NSTP

KOTA BHARU (Kelantan): Sebuah kedai jam berusia 70 tahun yang menjadi sebahagian daripada sejarah bandar Kota Bharu di Kelantan, bakal ditutup hujung Jun ini, menandakan berakhirnya satu warisan perniagaan keluarga tiga generasi yang tidak lagi disambung generasi seterusnya.

Pasangan warga emas, Encik Mah Weng Kiong, 83 tahun, dan isterinya, Cik Tan Siew Wan, 75 tahun, dalam rasa sedih terpaksa mengambil keputusan menamatkan operasi perniagaan selepas tiada ahli keluarga mahu meneruskannya.

Menurut Encik Mah, perniagaan itu diwarisi daripada mendiang bapa mentuanya dan kemudian diteruskan oleh anak keduanya, Encik Mah Kwong Chuang, 46 tahun.

“Bagaimanapun, kami terpaksa menutup kedai yang sudah beroperasi lebih setengah abad berikutan Kwong Chuang akan mengusahakan perniagaan sendiri. Keputusan untuk menutup kedai jam ini dibuat pada Februari lalu.

“Saya sebenarnya berat hati untuk menutup kedai ini kerana sayangkan pelanggan setia yang sudah dianggap sebagai adik-beradik. Malah, mereka juga adalah pelanggan tetap yang datang membeli jam daripada beberapa generasi,” katanya, lapor Harian Metro.

Katanya penutupan kedai jam yang diusahakannya itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pempengaruh sejak awal Jun, menyebabkan ramai pelanggan dari dalam dan luar Kelantan menyerbu untuk membeli jam pelbagai jenama popular dengan tawaran separuh harga.

“Bermula 10 pagi sudah ada pelanggan yang setia menanti termasuk pelanggan tetap yang terkejut dengan keputusan penutupan kedai ini dan pada masa sama mereka mengambil peluang membeli jam berjenama dengan tawaran harga istimewa.

“Sehingga kini sudah banyak jam yang terjual pada harga yang sangat murah. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kami mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap, Cik Junaidah Husin, 73 tahun, berkata kedai jam itu sudah sebati dengan keluarganya sejak dulu disebabkan kemesraan pasangan suami isteri berkenaan.

“Kami juga percaya kepada pasangan suami isteri ini ketika berurusan kerana mereka jujur memberikan maklumat sebenar mengenai jam yang rosak dan terus membaikinya di hadapan pelanggan.

“Sebelum ini, saya memang selalu mencadangkan kepada rakan dan saudara-mara untuk membeli dan membaiki jam di sini, selain sikap profesional mereka turut disenangi pelanggan,” katanya.

Katanya untuk kali terakhir beliau membeli beberapa jam tangan dan yang paling mahal berharga lebih RM4,000 ($1,213), namun mendapat potongan separuh harga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg